2014-07-30 12:59pm
 
KHAS
 
Wanita ditembak polis tanpa sebab...
 
Ong Vic Kee | Jan 29, 2010 04:42:38 pm
Kongsi |

Seorang wanita ditembak polis ketika berada dalam kereta, malah ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya.  Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.

Ketika kejadian ini berlaku, wanita yang bernama Norizan bt Salleh ini berada di sebelah kiri tempat duduk belakang dalam kereta, bersama seorang wanita dan dua orang lelaki yang lain.  Mereka yang sedang dalam perjalanan mendapati sebuah kereta MPV muncul di sebelahnya secara tiba-tiba, dan polis di dalam kereta itu mula menembak sebelum mereka mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

Norizan bt Salleh, 30 mendedahkan insiden yang berlaku pada awal pagi 30 Oktober 2009 ini dalam satu sidang media, bersama peguamnya Surendran, ibunya Siti Alimah bt Abu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya dan AJK Wanita PKR Rozaini Mohd Rosli, semalam. 

Dipaksa untuk membuat pengakuan

Menurut Norizan, rakannya dalam kereta turut diseksa, malah dipaksa polis untuk mengaku bahawa mereka telah melakukan jenayah merompak.  Apa yang peliknya, mereka tidak melalui prosedur soal siasat dan tahanan.  Oleh itu, Norizan yang tidak mempunyai rekod jenayah langsung tidak tahu mengenai "kesalahan yang dilakukannya" sehingga hari ini, lebih-lebih lagi beliau tidak didakwa di mahkamah.

Mengimbas kejadian yang berlaku tahun lalu ini, Norizan menceritakan bagaimana beliau pulang ke rumahnya dari rumah kawan di Segambut, Kuala Lumpur pada pukul tiga awal pagi, dengan menaiki kereta Waja.  Mereka melalui MRR2, dan beliau mendapati sebuah kereta MPV di sebelah kereta mereka ketika dalam perjalanan.

Menurut Norizan, polis di dalam kereta itu menghalakan pistol ke arah mereka, dan mula menembak sebelum mereka sempat berhenti.  Peluru menembusi kereta mereka, malah lima tembakan dilakukan ke arah dirinya, dengan salah satu terkena pada dada, sehingga darah mengalir tanpa berhenti.

Norizan menekankan beberapa kali, bahawa mereka tidak tahu apa-apa ketika kejadian itu berlaku, malah tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.  Kemudian, Norizan mula kabur, dan tidak sedar di mana keretanya berhenti.  Tiba-tiba, pintu kereta dibuka, dan polis menghalakan pistol ke arahnya.

Kemalangan jalan raya, kata polis

Wanita yang tidak bersenjata ini meminta tolong, tetapi dibalas pula dengan tendangan polis.  Beliau merangkak keluar dan ditendang oleh polis yang sama, sebelum dipijak belakangnya, yang berakhir dengan retaknya dua tulang rusuknya.

Norizan (gambar kanan) berkata, beliau nampak dirinya dikepung lebih daripada 10 kereta polis.  Norizan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat.  Empat hari kemudian, beliau dihantar ke Institut Jantung Negara.  Sejumlah 11 hari beliau tinggal di hospital di bawah pemantauan polis.

Ketika keluar dari hospital, Norizan dimaklumkan bahawa kos rawatan sejumlah RM20,000 perlu ditanggungnya sendiri, dan bukan polis yang mencederakannya kerana polis memberitahu hospital bahawa Norizan ditimpa kemalangan jalan raya.  Bagaimanapun, ibu tunggal yang masih menganggur, dan mempunyai seorang anak berumur 10 tahun ini gagal menjelaskan hutang ini.

IO yang sama

Norizan memberitahu bahawa dirinya pernah meminta bantuan daripada Micheal Chong, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA.  Micheal Chong pula membawanya untuk membuat laporan di Balai Polis Sentul.  Kebetulannya, Investigation Officer yang bertanggungjawab dalam siasatan aduan Norizan adalah IO yang menyiasat Norizan atas tuduhan "cubaan membunuh"pada hari kejadian berlaku.

Kemudian, Norizan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan, dan polis memberitahu bahawa dirinya akan dihubungi dalam masa 48 jam.  Tetapi, beliau tidak dihubungi sehingga kini setelah laporan itu dibuat pada 16 November 2009.

Selain itu, menurut Surendran, tiga orang kawan Norizan yang tidak berani untuk menampilkan diri semalam juga diseksa oleh polis.  Salah seorang mengadu kepada Surendran bahawa mereka digantung secara terbalik, disapu cili pada badannya, dan dipukul tapak kakinya.  Menurutnya, polis berbuat demikian agar mereka mengaku diri mereka terlibat dalam kes rompakan.

Sebagaimana yang diketahui, kaki pemandu kereta juga tercedera kerana tembakan pistol.  Walau bagaimanapun, Surendran tidak pasti sama ada tiga orang yang lain mempunyai rekod jenayah.

Keadilan untuk mereka yang tidak bersalah

Latheefa Koya (gambar kanan) menyeru agar polis menyiasat kes ini dengan segera, malah mengembalikan keadilan untuk mereka yang tidak bersalah tetapi dibunuh oleh polis.  Ketua Biro Penerangan PKR ini tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan demonstrasi sebagai protes dan mendesak agar polis menyegerakan siasatan kes ini.

Beliau juga menggesa agar polis menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC) untuk menghentikan keganasan sedemikian dan mengelakkan lebih orang dimangsakan sebegini.  Malah, Latheefa Koya khuatir polis tidak akan membiarkan nyawa mangsa itu daripada hidup selepas ini.

"Kami mahu kerajaan, Kementerian Dalam Negeri respon kepada kes yang didedahkan hari ini.  Bukan sahaja kami nak memperjuangkan keadilannya, tetapi mempertahankan keadilan untuk semua orang.  Kami berharap polis memandang kes ini dengan serius, menyiasat.  Ini bukan mengarut... Ini untuk mengelakkan mangsa seterusnya ditembak, dan saya amat bimbang, lain kali mereka (polis) akan memastikan mereka tidak dibiarkan hidup," ulasnya.

Norizan antara yang hidup dan tampil ke depan

Surendran (gambar kiri) pula mendakwa bahawa kes ini adalah bukti kes "shoot-to-kill" (tembak untuk bunuh), dan Norizan adalah mangsa yang masih hidup dan berani tampil untuk mendedahkan salahguna kuasa polis ini.

"Kami tidak lagi percaya kepada kenyataan polis.  Mangsa sebelum ini ditembak mati kesemuanya.  Mujur kami ada seorang mangsa yang masih hidup dan tampil untuk mendedahkan tingkahlaku polis," katanya.

Malah, Surendran menyenaraikan kes-kes penyalahgunaan kuasa polis sehingga mangsanya terbunuh sebelum ini, termasuk enam orang di Kulim yang ditembak mati oleh polis pada Februari 2009 dan lima orang yang ditembak mati di Klang pada awal November 2009.

Menurut Surendran, dalam kes di Kulim, beliau diberitahu jiran mangsa bahawa salah seorang lelaki yang ditembak mati adalah seorang yang berpenyakit mental; sementara kes di Klang pula berakhir dengan tregedi kakak seorang mangsa membunuh diri bersama anaknya kerana terlalu sedih.

*Pembetulan: Di bawah tajuk kecil "IO yang sama", Investigation Officer yang bertanggungjawab dalam siasatan aduan Norizan adalah IO yang menyiasat Norizan atas tuduhan "cubaan membunuh" pada hari kejadian berlaku, bukan orang yang mencederakan Norizan.  Kami meminta maaf atas kesilapan dalam laporan sebelumnya.

**Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>