2014-08-22 09:42pm
 
EKSKLUSIF
 
Said Zahari: Tunku tidak berniat selesai dengan Chin Peng
 
Lim Hong Siang | Dec 30, 2009 02:39:28 pm
Kongsi |

Bagaimana "seandainya" apa yang tercapai dalam Perjanjian Damai Haadyai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989, disempurnakan 34 tahun lebih awal, iaitu dalam Rundingan Baling pada tahun 1955?

Sememangnya, adalah terlalu lewat untuk membuat sebarang "andaian" dalam sejarah.  Apa yang berlaku telah berlaku dan berlalu.  Namun, sejarah tidak harus tinggal hanya sebagai "bahasa" pemenang, atau pemegang kuasa, seandainya sejarah itu ditelaah untuk mengambil iktibar daripadanya.

Selama ini, Chin Peng selaku Setiausaha Agung PKM memikul beban sejarah ini secara bersendirian, atas tuduhan "enggan menamatkan perjuangan bersenjatanya".  Untuk mereka yang membaca memoir Chin Peng, My Side of History, sikap provokasi Ketua Menteri Singapura pada ketika itu, David Marshall dalam Rundingan Baling, mungkin berperanan menggagalkan rundingan tersebut.

Namun, sebagai wartawan yang membuat liputan di tempat kejadian Rundingan Baling pada usia 27 tahun ketika itu, Said Zahari menganjurkan perspektif tersendirinya untuk menafsir peristiwa sejarah ini.  Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu ini mendedahkan pengalaman yang terpendam dalam ingatan beliau di memoir dirinya, Meniti Lautan Bergelora.

"I never wanted it to be a success," Tunku

Dalam bab ke-44, Said Zahari mencatatkan pengalaman dirinya ketika membuat liputan di Baling sebagai wartawan Utusan Melayu.  Beliau yang cuba mendapatkan berita esklusif pada ketika itu, dibenarkan untuk mengajukan satu soalan kepada Tunku Abdul Rahman, sebelum sidang akhbar bermula.

Satu-satunya soalan tersebut berbunyi, "Adakah Tunku menyesal dengan kegagalan rundingan ini?"  Tanpa diduga, Said Zahari dibalas dengan jawapan, "No, I am not. I never wanted it to be a success." (Tidak, saya tidak (menyesal).  Saya tidak pernah mahukan ia berjaya.)"

Jawapan ringkas dari Tunku ini bagaimanapun tidak disiarkan, atas "nasihat" Syed Jaafar Albar, anggota Penerangan UMNO yang ketika itu berada di sisi Tunku.

Dalam wawancara bersama MerdekaReview kelmarin, Said Zahari kekal dengan pendirian beliau, bahawa Tunku tidak berniat untuk menyelesaikan perkara ini dengan Chin Peng, kerana untuk Tunku, soal Chin Peng adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh British, dan bukannya kerajaan Tanah Malaya.

"Chin Peng mahu tamatkan peperangan di situ"

"Padahal Chin Peng mahu tamatkan peperangan di situ," kata Said Zahari, "Apa yang terdapat dalam perjanjian 1989 sebenarnya could have been achieved in 1955.  (Rundingan Baling?)  Yes!  The same thing, tapi Tunku tak mahu..sebab tu dia kata, 'memang aku tak mahu selesaikan'.  This is the proof (Ini buktinya)."

Namun, apa yang bermain dalam otak Tunku, seandainya beliau ingin bertemu dengan Chin Peng, tetapi enggan menyelesaikan masalah dengan pemimpin komunis ini?  Tokoh wartawan ini menganalisa Rundingan Baling dari perspektif percaturan politik, yang memenangkan kedua-dua pihak Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng.

"Tunku mahu membuktikan bahawa Chin Peng terpaksa berjumpa dengan saya, Tunku Abdul Rahman (gambar kanan) pada waktu itu, bukan British.  Dan Chin Peng mahu membuktikan Tunku Abdul Rahman sanggup berjumpa dengannya walaupun dia ketua PKM," jelasnya.

"Jadi itu, you win one, i win one-lah (Kamu menang satu, saya menang satu)." Said Zahari menyimpulkan politik "saling guna-mempergunakan" antara kedua-dua orang tokoh ini.

Wartawan menyusul dengan soalan "apa manfaatnya pertemuan ini kepada pihak Tunku, jikalau bukan untuk menyelesaikan masalah ini dengan Chin Peng?"

"Publisiti," Said Zahari menjelaskan selanjutnya, "Sebab dia (Tunku) pemimpin yang bukan sahaja diterima rakyat, tetapi juga pemimpin yang diterima oleh Chin Peng.  Chin Peng sendiri cakap dalam perundingan itu, 'saya jumpa dengan Tunku sebab saya akui Tunku adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat'.  That is good enough.(Itu sudah memadai.)"

Pertemuan tidak direstui British

Tetapi, bukankah Tunku akan mencipta sejarah yang lebih besar, seandainya berjaya menyelesaikan masalah dengan Chin Peng?

"Sebenarnya, Tunku Abdul Rahman punya pertemuan dengan Chin Peng tidak direstui oleh British pada waktu itu, tahun 1955.  British memang tidak mahu Tunku jumpa Chin Peng.  Sebab British takut, (dengan) menemui Chin Peng, Tunku mengakui wujudnya PKM.  Dan pada Tunku, menemui Chin Peng bererti Chin Peng mesti berunding dengan Tunku, bukannya British," ulasnya.

"Tunku menggunakan Chin Peng, untuk tunjuk kat (kepada) British, I dare to meet Chin Peng.  British tak berani kasik (bagi) Tunku jumpa Chin Peng.  Dia takut Chin Peng politik lebih, lebih hebat, lebih manipulative... sedangkan Tunku seorang gentleman, dan politiknya lebih konservatif," kata Said Zahari.

Malah, Said Zahari mempercayai bahawa British sebenarnya mengenakan syarat untuk pertemuan antara Tunku dengan Chin Peng.  "Sebab British sudah warning, ini walaupun tak ada bukti tapi saya percaya, (British berkata kepada Tunku) 'you cannot solve the problem, you don't make any agreement with Chin Peng!"

Seandai situasinya begitu, mengapa pula British gagal menghalang pertemuan antara Tunku dengan Chin Peng?

Kembali kepada percaturan politik Tunku, Said Zahari menganalisa, "Pada Tunku, penyelesaian dengan Chin Peng seharusnya British punya isu.  Dia (Tunku) sedang memperjuangkan kemerdekaan.  Dia menggunakan Chin Peng.  (Tunku mungkin menyampaikan mesej kepada British) I can cooperate with Chin Peng.  We can fight you if you don't give me."

Tunku or Chin Peng?

"Saya percaya Tunku mesti berkata sedemikian dengan British di London.  You want me or you want Chin Peng, or you want Chin Peng and me?" kata Said Zahari.

Beliau meneruskan analisanya, "You give to me or you give it to Chin Peng.  It is up to you.  But if you give it to me, then you selamat sikit.  I think on this ground alone, British terpaksa (memberi kemerdekaan kepada Tunku)."

Pengamatan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu ini merumuskan, walaupun kemerdekaan tercapai seolah-olah perjuangan daripada pihak Tunku, tetapi tekanan sebenarnya datang dari pihak PKM.

"Disebabkan perjuangan bersenjata?"  Soalan wartawan dibalas dengan tangkas dan tegas, "Yes!" sebelum Pak Said (gambar kiri) meneruskan, "Bristish can't afford to meneruskan perjuangan itu, too costly."

Demikianlah pengamatan dan analisa dari kaca mata seorang tokoh wartawan, Said Zahari mengenai sejarah kemerdekaan tanahair dan perjuangan PKM.  Maka jelaslah mengapa bekas Ketua Pengarang ini mengeluarkan kenyataan bahawa Chin Peng adalah bumiputera Malaya, dan menyaran agar "perikemanusiaan" harus mengambil kira pihak PKM yang turut menyumbang dalam perjuangan kemerdekaan. (Bahagian ketiga, tamat)

Bahagian pertama: Said Zahari:  Chin Peng bumiputera Malaya

Bahagian kedua: Said Zahari: Perikemanusiaan harus ambil kira PKM



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>