2014-07-30 08:54am
 
EKSKLUSIF
 
Said Zahari: Perikemanusiaan harus ambil kira PKM
 
Lim Hong Siang | Dec 29, 2009 07:44:16 pm
Kongsi |

"Buta sejarah", demikianlah label yang dilontarkan terhadap generasi muda yang cuba mengangguk kepada kepulangan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanahair.  Pada masa yang sama, mereka yang sedia untuk memberi laluan atas dasar perikemanusiaan, dipertikaikan sebaliknya sama ada "Chin Peng yang tidak perikemanusiaan" ini layak untuk menerima layanan "perikemanusiaan".

Namun demikian, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari (gambar kanan) tetap dengan pendirian bahawa Chin Peng berhak untuk pulang ke tanahairnya, Malaysia.  Tokoh kewartawanan ini berada di tempat kejadian pada usia 27 tahun, menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana Rundingan Baling diadakan pada tahun 1955.

Beliau bertanggapan bahawa isu kepulangan Chin Peng ini bukan soal "boleh atau tidak", tetapi "hak asasi" seseorang warga negara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun, lebih-lebih lagi apabila hak ini termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia pada tahun 1989.

Namun demikian, Said Zahari tetap sanggup mengulas hujah-hujah yang membantah kepulangan Chin Peng, mengetengahkan perspektif baru untuk memahami isu ini, yang semestinya juga sebagai pendekatan alternatif untuk menilai sejarah tanahair ini, dalam wawancara bersama MerdekaReview, semalam.

Mewarisi pemikiran penjajah

Antara hujah yang mengambil pendekatan sentimen termasuklah mangsa dan keluarga mangsa yang terbunuh ketika Zaman Darurat akan terguris hatinya, malah berasa marah terhadap kepulangan Chin Peng.  Lebih-lebih lagi, Chin Peng atau PKM tidak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan, tetapi dilabelkan sebagai "pengganas" kerana melanjutkan perjuangan bersenjata walaupun kemerdekaan tercapai pada tahun 1957.

Namun demikian, Said Zahari meletakkan peristiwa yang berlaku dalam konteks sejarah, yang padanya tidak boleh dibaca secara kasar atau hanya sepintas lalu.  Beliau memulakan wawancara dengan menyatakan bahawa mereka yang menentang kepulangan Chin Peng berdasarkan apa yang mereka anggap sebagai "keganasan" atau "kekejaman" yang dilakukan oleh Chin Peng dan pengikutnya terhadap rakyat, sebenarnya menerima legasi, atau warisan pemikiran penjajah.

"...Mereka menganggap ini sebagai sesuatu yang bukan budaya orang Malaysia.  Bunuh-membunuh dan sebagainya," sambungnya, "Jadi, sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah pandangan-pandangan orang yang menerima legasi, warisan pemikiran penjajah.  Penjajahlah yang menganggap Chin Peng dan PKM sebagai pengganas, dan sebagai parti yang menentang rakyat.  Itu penjajah punya pandangan.  Dan mereka ini masih berpegang kepada pemikiran seperti itu."

Namun, Said Zahari mengingatkan bahawa PKM berjuang untuk menentang penjajah asing, pernah berganding dengan British seketika untuk menghalau tentera Jepun, dan menentang British pula yang kembali sebagai penjajah selepas Jepun menyerah diri.

"Peperangan anti penguasaan asing bukannya perkara baru.  Dari sejarah tanah air kita, kita dah tahu bagaimana rakyat menentang Inggeris yang ingin menguasai ...(kita).  Perang Tok Janggut, Bahaman, Mat Kilau... Itu ada dalam sejarah.  Walaupun tidak secara besar-besaran... Sudah ada di dalam kumpulan-kumpulan kecil yang menentang penguasaan asing," Pak Said cuba mencungkil sejarah penentangan penjajah yang berlaku pada peringkat lebih awal.

"Itu menjadi satu budaya rakyat tanah Melayu ini yang tidak mahu dikuasai orang asing.  Itu kalau kami lihat dari sejarahnya.  Jadi, apabila sampai zaman Jepun, Jepun datang menjajah.  Dan sesudah British dikalahkan, mulalah rakyat mencari cara bersepadu supaya menentang Jepun pula.  Yang dulunya kita hendak menghalau penjajah Bristish, sekarang Jepun sudah berkuasa.  Kita menentang Jepun.  Kemudian bila Jepun kalah, Bristish balik semula," sejarah perjuangan ini dijelaskan secara ringkas, yang sudah tentunya menyaksikan pertumpahan darah pahlawan-pahlawan tanahair tanpa mengira warna kulit.

"Kalau saya tak tembak awak, awak tembak saya..."

Said Zahari memahami mereka yang cuba memberi reaksi berdasarkan keperibadian, misalnya saudara yang tercedera mahupun terbunuh ketika Zaman Darurat, tetapi mengingatkan bahawa peristiwa ini berlaku pada zaman negara masih terjajah, iaitu dalam peperangan anti penjajah.

"Itu perang.  Dalam peperangan, kalau saya tak tembak awak, awak tembak saya.  Kalau awak tidak bunuh saya, saya bunuh awak.  Sebab kita dalam peperangan.  Dan siapa juga yang masuk dalam pasukan tentera mesti menjangkakan kemungkinan ini.  Kemungkinan ini boleh berlaku kepada sesiapapun," katanya.

Maka, mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan pada ketika itu dianggap sebagai polis penjajah atau tentera penjajah, yang berperang menentang PKM.  Tetapi, Said Zahari mengingatkan bahawa "apabila Darurat diisytiharkan, itu sama ertinya dengan mengeluarkan deklarasi peperangan terhadap PKM.  Sudah timbul peperangan!"

Malah, dalam wawancara selama satu jam ini, Said Zahari beberapa kali menekankan bahawa "bunuh" dan "kena bunuh" adalah sebahagian daripada kelumrahan dalam peperangan.

"Kalau di dalam pasukan keselamatan, mati dalam perjuangan kerana menentang parti komunis... Dalam zaman itu, perang antara satu pihak dengan pihak lain.  Dalam peperangan, mesti ada kematian, mesti ada pembunuhan," tegasnya.

Beliau mempersoalkan, "Kenapa kira tentera, pasukan keselamatan yang mati dan patah kaki, tetapi tidak tanya di sebelah pihak yang lagi satu?  Siapa yang patah kaki (pihak PKM)?  Siapa yang mati (pihak PKM)?  Kenapa tidak diberitahu?"

Malah, Said Zahari mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa keperikemanusiaan itu harus ditafisrkan secara lebih luas, dengan mengambil kira semua pihak, "...komunis yang terbunuh tu, (mereka yang bunuh komunis) ada perikemanusiaankah?  Apakah komunis tu bukan manusia?"

Perjuangan bersenjata selepas tahun 1957

Seandainya mereka yang terkorban semasa zaman penjajahan difahami dalam konteks tersebut, apa pula yang bermain dalam otak Chin Peng atau PKM secara keseluruhannya, apabila perjuangan bersenjata dilanjutkan walaupun kemerdekaan tercapai pada tahun 1957?

"PKM yang sudah mengambil peranan penting dalam anti penjajah, tidak pernah diberikan penghargaan," luahan dari Said Zahari sebelum menyambung, "PKM tidak meminta apa-apa.  Hargai...kita (PKM) juga menentang penjajah.  Akui.  (kenyataan) Ini mereka (kerajaan Malaya) tidak mengakui."

"Jadi, bila PKM tidak diakui, ertinya mereka (kerajaan Malaya) mahu PKM meneruskan perjuangannya..." Beliau menjelaskan selanjutnya, "Ertinya orang-orang komunis tidak dihargai, tidak diambil kira.  Tidak ada sumbangan.  Ini yang menjadi soalan.  Oleh itu, PKM meneruskan perjuangan."

"(PKM) Cuma meminta penghargaan dan pengakuan bahawa kita bersama-sama menentang penjajah.  Kita bersama-sama menentang British.  Tapi orang-orang konservatif yang dipimpin orang UMNO tidak mengakui ini semua, seoalah-olahnya mereka (UMNO) yang memperjuangkan merdeka.  Ini bezanya.  Ini fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan.  Tetapi penulis sejarah sekarang ini cuba tutup ini semua!" kata Pak Said.

Apabila wartawan melontarkan kemungkinan bahawa sesetengah pihak akan menganggap "pengakuan sumbangan PKM" terlalu remeh dan tidak berbaloi untuk pengorbanan nyawa rakyat lantaran perjuangan bersenjata yang tidak ditamatkan, Said Zahari menjawab,"Rakyat yang terkorban...itu memang betul.  Saya fikir, kalau kita bandingkan, rakyat, pengikut perjuangan, tentera kerajaan dan tentera komunis, lebih banyak tentera komunis yang terbunuh berbanding tentera kerajaan.  Kalau kerajaan menunjukkan orang yang patah kaki, masuk dalam suratkhabar gambarnya, berapa ramai tentera komunis yang kena bunuh, kena gantung, kena heret dan sebagainya...?  Benda tu tidak tercerita.  Kita cuba menutup sebahagian daripada sejarah."

Kerajaan juga bertanggungjawab

Malah, Said Zahari menyetujui bahawa beban kegagalan untuk menamatkan pertentangan PKM dengan kerajaan tidak harus dipikul oleh PKM, atau dipersalahkan kepada Chin Peng sahaja, memandangkan kerajaan juga bertanggungjawab untuk menamatkan pertentangan demi kesejahteraan orang ramai.

Apabila diajukan soalan bahawa sesetengah pihak menganggap adalah menjadi satu kesalahan Chin Peng untuk berjuang menegakkan fahaman komunis dan menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Malaya, yang dianggap tidak sesuai kerana anti-agama, Said Zahari (gambar kiri) merujuk kepada manifesto PKM dan mengaku bahawa "PKM mahu menegakkan satu negara Soviet, ertinya negara yang berasaskan ajaran Marx dan Lenin."

"Ini adalah falsafah politik.  Sama juga orang mahu menegakkan Revolusi Perancis.  Dia menegakkan satu negara republik.  Dia mengangkat senjata dan berperang.  Dalam perperangan yang terbentuk sebegitu, membunuh atau kena bunuh, adalah sebahagian daripada kelumrahan!"

Malah, beliau mengambil contoh PKI (Partai Komunis Indonesia) di Indonesia, "pengikut-pengikutnya bukan semuanya Cina, tetapi sebahagian besarnya Indonesia, dan bukan sahaja orang Indonesia, orang yang kuat berpegang kepada ugama Islam!"

Sentimen perkauman

Said Zahari turut memperbetulkan persepsi bahawa PKM hanya dianggotai oleh orang Cina, dan mendakwa ia semata-mata propaganda penjajah British untuk mengatakan hanya Cina menentang Jepun.

"Tetapi apa yang orang tidak tahu, banyak orang tidak tahu, bukan PKM saja yang menentang Jepun.  Dan bukan PKM sahaja yang menentang British.  PKM ini diertikan PKM yang dianggotai Cina.  Padahal di dalam PKM sendiri ada ramai orang anak Melayu.  Ada organisasi yang lain yang kecil-kecil yang juga menentang penjajahan, menentang Jepun."

Beliau meneruskan, "Jadi, kalau kita tengok dari segi sejarahnya, memang ramai orang tak tahu, kerana British tidak mahu rakyat tahu bahawa yang menentang Jepun dan menentang British, juga orang Melayu dan rakyat seluruhnya."

Said Zahari menggilap fakta bahawa Rejimen ke-10 dalam PKM kebanyakannya dianggotai orang Melayu, dan bagaimana pemimpin kaum Melayu seperti Rashid Maidin, Abdullah CD juga menjadi pucuk pimpinan dalam PKM, tetapi Chin Peng lebih ditonjolkan sebagai pemimpin tertinggi PKM untuk menyamakan PKM dengan orang Cina.

Kerana Chin Peng berketurunan Cina

Namun, keadaan ini berterusan setelah tanahair kita merdeka dari penjajahan British.  Mungkin inilah yang menyesalkan Said Zahari, apabila Chin Peng kini masih dijadikan ikon kekejaman.

"Chin Peng sendiri anak tanah Melayu... Memang betul, dia anak tanah Melayu.  Sebahagian besar PKM anak tanah Melayu.  Abdullah CD anak tanah Melayu, Rashid Maidin...Shamsiah Fakeh bukan saja anak Melayu, orang ugama lagi!"

Said Zahari berkata, "tetapi apabila darurat diumumkan, dia jadi satu peperangan antara PKM dan kerajaan.  Jadi tidak ada timbul soal kau Melayu, ataupun kau orang Cina dalam PKM...kalau awak baca buku Abdullah CD, berapa ramai orang yang mereka sudah bunuh?  Kenapa mereka tidak dituduh seperti Chin Peng?  Kenapa Chin Peng saja yang you pilih... sebagai orang yang kejam?"

"Jawapannya ialah kerana Chin Peng ialah seorang Cina, keturunan etnik Cina.  Dan ini yang bahaya untuk Malaysia, dan ini yang buruk untuk Malaysia!" kata Said Zahari.

"Hari ini tidak seharusnya berlaku," sejenak kemudian, Said Zahari meneruskan, "sebab Chin Peng, kalau saya nak melihat Chin Peng...saya kenal Chin Peng.  Saya jumpa dengannya dua tiga, empat lima kali.  Saya ingat, saya wartawan yang pertama berjumpa Chin Peng di Rundingan Baling, dan seterusnya di Bangkok."

"Chin Peng lebih patriotik!"

"Saya fikir, Chin Peng lebih patriotik daripada ramai orang berpekik-pekik, termasuk orang UMNO dan sebagainya...yang mengakui dirinya seorang yang patriotik," beliau menyambung "Sebab dia tak ada lain yang diperjuangkan.  Dia berjuang di Malaysia, memang dia mahu menegakkan komunis soviet republik.  Itu satu sistem politik.  Dan dia tahu dia tidak boleh menang tetapi dia teruskan perjuangan ini." 

Wartawan sempat bertanya satu soalan lagi bagi pihak yang menganggap Chin Peng tidak mempunyai hak untuk pulang ke tanah air, kerana kononnya penganut komunisme tidak mengiktiraf hak asasi dalam perjuangannya.

Dengan tangkas Pak Said membalas, "Apakah kita sekarang pun menerima hak asasi yang sebenarnya?  Banyak hak asasi yang dinafikan.  Ada pelbagai akta (yang menyekat) kebebasan akhbar, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), hak asasi tidak ada lagi..."

Malah, beliau layak untuk berkata sedemikian, "Saya menjadi mangsa hak asasi ini.  Macam mana you mengatakan hak asasi saya dipertahankan?  Bukan komunis yang menangkap saya.  Bukan komunis yang penjara saya 17 tahun!"

"Orang yang mengaku mempertahankan kebebasan...(yang menangkap dan menahan saya).  Jadi, hak asasi ini bergantung kepada siapa yang bercakap mengenainya.  Memang kita tidak boleh menafikan di dalam peperangan, di dalam apa-apa persengketaan, perkara-perkara ini boleh berlaku.  Daripada keseluruhannya, kita harus adil.  Berlaku ketidakada-nya hak asasi di mana-mana juga!"

Said Zahari bukan sahaja ditahan di bawah ISA untuk 17 tahun, tetapi dilarang masuk ke sempadan Tanah Malaya lantaran permogokan yang dipimpinnya untuk menentang pengambil alihan Utusan Melayu oleh UMNO pada tahun 1961.  Larangan tersebut hanya dibatalkan hampir 30 tahun kemudian, oleh bekas PM Mahathir Mohamad pada tahun 1989. (Bahagian kedua, bersambung)

Bahagian pertama: Said Zahari:  Chin Peng bumiputera Malaya

Bahagian ketiga: Said Zahari: Tunku tidak berniat selesai dengan Chin Peng



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>