2014-04-23 09:43pm
 
PANDANGAN
 
Chin Peng: Komunis atau Teroris?
 
| Dec 26, 2009 11:35:09 am
Kongsi |

Hari ini saya terbaca tulisan saudari Puspawati Rosman di MerdekaReview yang disiarkan hari ini.  Puspa adalah Ketua Projek Kesedaran Guaman, Pusat Bantuan Guaman, Majlis Peguam Malaysia (saya lampirkan tulisan beliau dibawah).  Beliau mempertikai keputusan rakyat tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia.

Beliau jelas tidak memahami sejarah apabila menyatakan zaman Chin Peng (gambar kanan) berleluasa adalah zaman perang.  Kita sudah merdeka tahun 1957, dan keganasan yang dilakukan oleh Chin Peng adalah pada tahun 1960an sehingga 1980an.  Dunia sudah tidak berperang semasa itu, negara kita sendiri sudah pun aman damai, rakyat pelbagai kaum hidup penuh harmoni dan saling hormat menghormati.

Chin Peng dan konco-konconya mahu memerintah negara, mereka mahu mengambil alih kerajaan dengan cara bersenjata, cara terorisme dan keganasan.  Mereka mahu paksa rakyat menerima ideologi dan cara pemerintahan kukubesi mereka.  Tidak ada beza antara Chin Peng dan Hitler, Mussolini dan mereka yang sewaktu dengannya. 

Saya memahami tulisan Puspa sebagai penulis yang datang daripada generasi baru, generasi yang tidak kenal sejarah, tidak pernah melalui suka duka dan jerit perih darurat dan ancaman pengganas teroris yang dilabel komunis.

Memang benar label komunis adalah label yang diberikan Yahudi, dalam menentang fahaman Marxisme yang mengancam ideologi kapitalis.  Perkataan "communist" itu sendiri bermakna mereka yang berfahaman bahawa harta dan kekayaan rakyat negara adalah milik "community", perlu diagih kepada masyarakat..mereka perjuangkan hak "community", maka mereka dilabel "communist".

Tetapi Chin Peng bukan komunis dalam ertikata ideologi.  Tetapi beliau adalah pengganas teroris.  Beliau mengarahkan pembunuhan rakyat Tanah Melayu yang tidak berdosa.  Ramai rakyat yang dibunuh kejam; Melayu, Cina, India, Punjabi, tak kurang juga Inggeris dan lain-lain.  Puspa dan yang sewaktu dengannya tidak sempat melihat semua itu.  Apa yang beliau lihat adalah coretan-coretan di atas kertas, dengan segala teori dan hypothesis.  Tetapi di bawah sana, mayat rakyat pelbagai kaum bergelimpangan dibunuh kejam oleh pengganas teroris pimpinan Chin Peng.  Saya melihat sendiri mayat Ketua Polis Perak dan pemandunya, kedua-duanya berbangsa Cina, yang dibunuh kejam di persimpangan Anderson School & Fairpark pada tahun 1970an.

Saya melihat penduduk Cina Kg Bercam Ipoh disembelih kejam.  Saya melihat polis ditembak dan dibunuh di Simpang Pulai.  Saya melihat jenazah anggota tentera diangkut dengan helikopter Nuri dari perbatasan di padang bola di Kem Ashby, di antara mereka termasuk askar renjer Iban dari Sarawak.

Apa beza kekejaman kepala teroris Chin Peng dan askar Jepun, Inggeris atau penjajah lain?  Perbezaan mereka adalah kerana tentera Jepun dan lain-lain adalah bangsa asing dari negara asing yang datang menyerang dan mahu menjajah Tanah Melayu.  Sebaliknya Chin Peng mengaku rakyat Tanah Melayu, tetapi memerangi dan membunuh zalim penduduk Tanah Melayu.  Dia membunuh rakyat warganya sendiri. Dia memerangi negaranya sendiri.  Dia buak sahaja pengganas teroris, dai adalah pengkhianat negara dan rakyat pelbagai kaum.

Orang saperti ini tidak boleh dihakimi dengan buku cantik tulisannya.  Pengkhianat saperti ini perlu dilihat dan dihakimi dengan darah nyawa rakyat yang telah dibunuh kejam olehnya.  Orang seperti Chin Peng hanya satu sahaja tempat yang layak baginya..di hadapan penembak untuk dihukum bunuh sampai mati!

Apabila Allahyaraham Amin Razali dan sahabat-sahabat nya dari Kumpulan Al Ma'unah bertindak mengkhianati rakyat dan negara ini, mereka dilenyapkan dari muka bumi negara ini.  Amin telahpun dihukum gantung sampai mati.  Itulah harga yang perlu dibayar oleh Sang Pengkhianat.  Itu baru dua nyawa yang terbang semasa pemberontakan Al Ma'unah.  Berapa ribu, entahkan puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang mati ditangan pengganas Chin Peng dan konco-konconya?!

Saya sama sekali tidak bersetuju untuk kita menimbang walau sebesar hama sekalupun untuk membenarkan Chin Peng kembali ke tanah air kita.  Tangan Chin Peng penuh dengan kekotoran darah rakyat negara ini.  Jangankan tubuh badannya, bumi Malaysia tidak akan boleh menerima bangkai Chin peng bila dia menjadi mendiang nanti.

Chin Peng adalah ikon kebencian yang direka.  Beliau adalah ikon keganasan, Chin Peng adalah ikon teroris pengganas, Chin Peng adalah ikon pengkhianat kepada rakyat dan negaranya sendiri.  Itu bukan kebencian yang direka, tetapi realiti sejarah hitam yang tercatat dalam kamus negara ini. Chin Peng tidak layak diberi sebarang layanan kerakyatan dan kenegaraan.  Dia tidak layak balik ke negara ini.

Puspa menutup tulisannya dengan kenyataan "kami adalah generasi baru, kami perlu bergerak ke hadapan, dan kami tidak mahu memulakan langkah kami dengan perasaan benci dan dendam".  Tetapi Puspa perlu ingat, untuk melangkah kehadapan, kita perlu melihat kebelakang sejarah yang membentuk negara kita.  Sekiranya tidak, kita akan hanya menjadi generasi yang tiada jati diri, dan buta kepada sejarah sendiri.  Sejarah adalah acuan yang akan membentuk generasi akan datang.  Generasi yang membuang sejarahnya adalah generasi yang tiada harga dan maruah diri.

Puspa juga menyandarkan kepada hadis orang-orang tua, "sedangkan Nabi juga mengampunkan umatnya, inikan pula manusia biasa".

Memang itu benar, tapi kita melihat sendiri dalam sejarah ALLAH tidak pernah mengampunkan pengkhianat.  Sehingga ke matinya pengkhianat bernama Abdullah bin Ubay dilaknat ALLAH. Dia tidak diberi keampunan pun, sebaliknya dilaknat dunia akhirat.

Memang kita manusia biasa, tetapi kita berhadapan dengan manusia Chin Peng yang luarbiasa, keluarbiasaannya adalah kerana Chin Peng sanggup membunuh dan menzalimi rakyat dan kaumnya sendiri demi mencapai cita-cita nafsu serakahnya yang sempit dan jumud.  Manusia luarbiasa saperti ini perlu dilayan dengan cara luarbiasa juga.

Wassalam.

*Tulisan diatas adalah pandangan saya secara peribadi dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai mewakili pendirian Parti Keadilan Rakyat.  Saya bertanggungjawab sepenuhnya secara peribadi atas kenyataan ini.

**Tulisan ini dipetik daripada blog Zulkifli Bin Noordin, ahli parlimen Kulim Bandar Baharu (PKR) pada Khamis 07 Muharram 1431 (24 Dis 2009).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>