2014-08-23 01:36am
 
KOLUM
 
Chin Peng: Ikon kebencian yang direka
 
Puspawati Rosman | Dec 24, 2009 10:03:41 am
Kongsi |

Ketika saya sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, hanya terdapat sebuah kedai buku di dalam kampus di mana saya dan mahasiswa-mahasiswa lain boleh mendapatkan buku teks dan bahan bacaan lain dengan harga yang lebih murah daripada harga biasa, iaitu di Pekan Buku.  Oleh itu, saya sentiasa pergi ke situ sekurang-kurangnya seminggu sekali - bukan sahaja untuk mendapatkan buku teks, tetapi juga bahan bacaan lain yang menarik minat saya.

Suatu hari, saya ternampak barisan buku tebal berwarna putih dan biru berjudul "My Side of History" diletakkan di bahagian rak yang paling atas.  Buku tersebut ialah memoir yang ditulis oleh Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, mantan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya.  Waktu itu, buku tersebut berharga RM60.00.  Disebabkan kekurangan wang, saya telah meminta seorang pekerja Pekan Buku supaya menyimpan senaskhah buku tersebut untuk saya selama seminggu sementara saya mendapatkan wang.

Buku habis dijual?

Apabila saya kembali semula ke Pekan Buku pada minggu yang berikutnya, saya mendapati buku tersebut tidak lagi berada di atas rak.  Sangka saya, buku tersebut sudah habis dijual.  Walau bagaimanapun, saya kemudiannya telah diberitahu oleh penjual buku bahawa buku tersebut telah dilarang penjualannya oleh pihak kerajaan persekutuan "sehingga waktu yang akan diberitahu kelak", kerana buku itu ditulis oleh Chin Peng dan mengandungi unsur-unsur komunisme.

Reaksi spontan saya selepas diberitahu oleh penjual buku tersebut ialah, ketawa.

Sehingga kini, setiap kali isu Chin Peng dibangkitkan, akan ada suara-suara marah yang melaungkan betapa kejamnya komunis, kejamnya Chin Peng, dan beliau seharusnya diharamkan untuk menjejakkan kakinya di tanah air kita sehingga mati.

Maafkan saya, kerana saya tidak dapat berkongsi perasaan yang sama.

Semasa kecil, saya diajar oleh media arus perdana bahawa komunis dan Chin Peng adalah orang jahat dan pengganas.  Tetapi, apabila semakin mendewasa, perasaan itu makin lama makin hilang, dan diganti dengan perasaan ingin tahu dan keliru dengan penentangan komunis di negara kita.  Mengapa?

Kerana sikap "double-standard" kerajaan.

Benci Chin Peng lebih daripada penjajah?

Minda rasional saya mengingatkan bahawa era PKM dulu ialah era perang - pergeseran politik, penangkapan musuh, malah pembunuhan juga adalah sebahagian daripada perang.  Saya selalu tertanya-tanya kenapa kita membenci Chin Peng dan komunisme, lebih daripada penjajah-penjajah dan penceroboh negara kita yang lain, seperti negara Jepun dan British?  Walhal, negara-negara itu terutamanya Jepun juga melakukan kekejaman fizikal terhadap rakyat negara kita.

Walaupun negara kita mempunyai sejarah "berperang" dengan PKM dan sejak itu komunisme selalu dikaitkan dengan keganasan, tetapi nampaknya dari sudut lain, pemimpin-pemimpin negara kita seolah-olah sudah tidak kisah lagi dengan ancaman komunisme, apabila kita berbaik-baik serta menandatangan berbagai-bagai perjanjian perniagaan dengan negara-negara komunis.  Negara-negara lain yang pernah "mengganas" dan bertindak kejam terhadap rakyat negara kita seperti Jepun juga sudah lama dimaafkan.  Malah, teknologi mereka digunakan secara meluas oleh kita.

Selain daripada itu, mantan ahli PKM yang lain, ramai yang telah diampunkan dan dibenarkan menetap dan menghembuskan nafas terakhir di sini.

Maka saya membuat kesimpulan bahawa Chin Peng hanyalah satu simbol kebencian yang direka oleh orang-orang tertentu.

Tugu Negara

Beberapa bulan lepas saya pernah menulis tentang Tugu Negara.  Saya mempersoalkan dan mengajak para pembaca untuk menilai sendiri rasional di sebalik wajah-wajah yang dibentuk di Tugu Negara.  Jika diamati betul-betul, wajah-wajah yang berdiri hampir kesemuanya berwajah Mat Salleh atau kacukan, sehingga menimbulkan persoalan samada mereka berbangsa Malaysia atau tidak.  Manakala, yang berbaring atau "mati" pula kesemuanya berwajah Asia.

Saya cuba membangkitkan isu semangat bangsa Malaysia di dalam cerita saya.  Tidak kiralah samada mereka komunis atau sebaliknya, mereka adalah rakyat Malaysia yang sedang "dipijak" oleh bangsa asing.  Saya minta pembaca tolak ke tepi ideologi politik masing-masing, dan tumpukan kepada wajah-wajah yang sedang dipijak dan yang sedang memijak itu.

Selepas tulisan tersebut diterbitkan, saya menerima banyak reaksi daripada pembaca.  Ada yang bersetuju dengan saya, tetapi ada juga yang marah-marah.  Mereka menyoal saya kembali - jika Chin Peng bukan pengkhianat, maka adakah keturunan mereka yang berjuang menentang komunis, adalah pengkhianat?

Saya berpendapat bahawa soalan itu adalah soalan yang salah. Soalan yang patut kita tanya sekarang ialah, perjuangan menentang komunis untuk siapa? Adakah perjuangan menentang komunis adalah perjuangan kita atau sekadar berjuang atas desakan orang luar?  Tugu Negara dicipta untuk siapa?  Siapa wira sebenar dalam cerita ini?

Kita jangan lupa, PKM pernah membantu kerajaan menentang Jepun.  Malah, PKM berganding bahu dengan kerajaan dan British untuk memerangi Jepun di negara kita.  Hanya selepas PKM menunjukkan penentangan terhadap British, PKM dianggap sebagai antagonis di dalam cerita.

Kami sudah letih menunggu

Di samping itu, sikap kerajaan yang selalu berdolak dalih dalam membincangkan isu kepulangan Chin Peng ini menimbulkan keraguan di hati saya dan rakan-rakan yang sebaya dengan saya.  Kami sudah letih menunggu.  Ini adalah kerana sehingga kini, kerajaan tidak pernah memberikan sebab yang konkrit mengapakah Chin Peng dilarang kembali ke Malaysia walaupun perjanjian Haadyai dikatakan telah ditandatangan 20 tahun dulu?  Maka, kami mengalu-alukan kepulangan Chin Peng ke Malaysia supaya beliau boleh menceritakan apakah yang sebenarnya yang berlaku, memandangkan kerajaan kita enggan berbuat demikian.

Lagipun, kini Chin Peng sudah berusia 85 tahun.  Sudah tua dan uzur.  Harapannya hanyalah untuk kembali ke Malaysia, melawat kampung halaman, saudara mara dan kubur kedua-dua ibubapanya.  Kalau boleh, beliau juga mahu menghembuskan nafas terakhirnya di sini.  Sukar sangatkah untuk membenarkan permintaan itu?

Pada pendapat saya, kerajaan kita dan sebilangan rakyat kita tidak perlu takut dan marah-marah lagi dengan Chin Peng.  Mungkin sukar untuk warga emas di negara kita melupakan era darurat dan saudara mara yang telah terkorban akibat perang itu, tetapi bagi generasi baru, kami perlu bergerak ke hadapan, dan kami tidak mahu memulakan langkah kami dengan perasaan benci dan dendam.

Bak kata orang-orang tua, "sedangkan Nabi juga mengampunkan umatnya, inikan pula manusia biasa".

Baca respon daripada Zulkifli Noordin : Chin Peng: Komunis atau Teroris?

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, juga Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>