2014-04-18 08:12am
 
EKSKLUSIF
 
Empangan Baram:
"Sumpah dari neraka"
 
Wong Shu Qi | Dec 22, 2009 05:41:15 pm
Kongsi |

Ini bukan anugerah daripada Tuhan, tetapi sumpah dari neraka.  Penduduk di lembah Sungai Baram gagal untuk memahami, bagaimana empangan yang menceroboh tempat kediaman mereka sejak zaman nenek moyang lagi menjadi "anugerah Tuhan" dalam mulut Yang Berhormat.

Tiada dasar yang lengkap digubal untuk menjamin mereka yang dipaksa pindah.  Orang asli yang kehilangan tanah bagaikan kehilangan akar, menjadi mangsa yang terkorban dalam laungan slogan pembangunan oleh kerajaan.

Walaupun tinggal jauh di pedalaman, orang asli yang duduk di lembah Sungai Baram tahu sedikit sebanyak mengenai projek Empangan Bakun.  Maka, untuk sesetengah daripada mereka, penyelesaian dengan perpindahan dan pampasan tidak diterima sama sekali. 

Lihat kepada 1,700 keluarga atau hampir 10 ribu penduduk yang terpaksa berpindah ke Sungai Asap kerana Empangan Bakun, mereka lebih sanggup untuk mengekalkan status quo.

Mengumpulkan penduduk yang berselerak di hulu Sungai Rejang ke Sungai Asap, setiap keluarga mendapat sebuah rumah dengan tanah, malah bekalan air dan elektrik.  Tawaran sedemikian seolah-olah seiring dengan langkah menuju ke "tamadun moden", tetapi akhirnya, penduduk kaum asli lebih sanggup untuk meninggalkan kawasan penempatan semula itu, dan kembali ke halaman rumah asal mereka.

Pengajaran dari Empangan Bakun

Philip Jau yang membantah Empangan Baram berkata, menurut Borneo Post pada 6 November, setelah bekas wakil rakyat, Nyipa Batok melihat keadaan Sungai Asap sekarang, beliau menukar pendiriannya yang sebelum ini menyokong Empangan Bakun.  "Beliau memberitahu kerajaan, mereka yang berpindah ke Sungai Asap tidak mempunyai masa depan.  Masa depan mereka gelap.  Kerajaan tidak mengotakan janji."
 
Pada masa yang sama, ketika Philip Jau (gambar kiri) ditemuramah MerdekaReview berkata, menurut perjanjian antara penduduk dengan kerajaan, penghuni yang berpindah ke Sungai Asap tidak perlu membayar bil bekalan air dan elektrik.  Di samping itu, mereka boleh mendapat rumah yang percuma.  Namun, mereka kini perlu membayar pinjaman rumah sebanyak RM52,000.

"Orang di kawasan Murum memaklumkan kepada saya, ramai orang yang berpindah ke Sungai Asap telah meninggalkan tempat itu sebelum hutang dijelaskan.  Kerana mereka langsung tidak mampu untuk membiayai bil elektrik dan air, apatah lagi pinjaman rumah?"  Sememangnya, selain gagal menjelaskan hutang, pertumbuhan populasi secara mendadak turut menyumbang kepada perpindahan penduduk dari Sungai Asap.

Menurut laporan yang dikemukakan oleh Colin Nicholas dari Center for Orang Asli Concerns pada tahun 2001, penduduk kampung telah bertumbuh dengan kadar yang tinggi, iaitu 40% sehingga tahun 2001.  Rumah yang diperuntukkan kepada orang asli tidak mencukupi.  Selain itu, laporan tersebut juga mendakwa bahawa tanah yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada orang asli untuk kegunaan pertanian tidak sesuai untuk tanaman kerana tanahnya tidak subur.

Oleh itu, Philip Jau berkata, "Isu perpindahan langsung tidak wujud, kerana kami tak mahu empangan!"  Walaupun projek empangan belum dimulakan secara rasminya, tetapi penghuni di lembah Sungai Baram telah memulakan kempen bantahan.

"Sumpah dari neraka"

Pada 16 September tahun ini, sempena ulang tahun ke-46 Hari Malaysia, Philip Jau bersama 14 orang kaum asli dan ADUN Padungan PKR, Dominic Ng telah memprotes di pejabat kerajaan negeri untuk menyerahkan memorandum, tetapi berakhir dengan penangkapan yang menjadi sindiran sinis kepada penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia.

Pada masa yang sama, penghuni mendapati bahawa sebelum pembinaan empangan dimulakan, malah sebelum kerajaan memaklumkan kepada rakyat, syarikat kontraktor yang membuat kajian telah memagari tempat tersebut.  Projek empangan tetap dengan langkahnya tanpa mengendahkan hak rakyat untuk mengetahui.

Philip Jau mencadangkan kepada kerajaan, "Hentikanlah segera usaha untuk mencari  tempat pembinaan empangan.  Jangan bazirkan wang lagi.  Biarlah wang dibelanjakan di tempat yang memanfaatkan rakyat, misalnya membina lebih banyak empangan mikro."

Kampung yang didiami Philip Jau dibekalkan dengan air dan elektrik 24 jam.  Tetapi lebih daripada 50 perkampungan di lembah Sungai Baram adalah tempat yang tiada bekalan elektrik dan air.  Malah, di tempat masuk ke kawasan hulu Sungai Baram, iaitu pekan Lapok, peniaga hanya dapat mengumpul air hujan dan menjana elektrik sendiri.

Persamaan yang dikongsi dalam pekan dan kampung ini adalah, tong air besar berwarna biru yang boleh menampung dua atau tiga orang dewasa; dan penjana elektrik yang membingitkan telinga.  Malah, kampung yang lebih miskin seperti Penan, hanya mampu menangguk air perigi dan menyalakan lilin.

Long Pillah yang terletak di sebelah syarikat Samling, walaupun tidak dimasukkan ke dalam kawasan yang mungkin ditenggelami, tetapi berada di sebelah jalan menuju kawasan waduk air.  Menurut perancangan, Long Pillah juga perlu dipindahkan.

Long Pillah ialah satu kawasan rumah panjang kaum Kayan, memiliki sebuah sekolah rendah yang mengekalkan rekod kelulusan UPSR pada paras 70% ke atas setiap tahun.  Sekolah komuniti ini terletak di atas bukit, kecil tapi cantik.  Sebelum hari cuti, muridnya bergotong-royong membersihkan bilik darjah mereka, dengan megahnya menyanyikan lagu sekolahnya.  Sekolah rendah yang menjadi titik pertemuan orang kampung ini akan terbiar begitu sahaja kerana empangan.

Maka tidak hairan apabila Philip Jau membidas hujah ADUN Telang Usan, Lihan Jok, "Beliau kata Empangan Baram adalah anugerah daripada Tuhan.  Bagi saya, ini satu sumpah, sumpah yang datang dari neraka!"

Kandungan projek tidak telus

Tetapi, ada juga ketua kampung yang enggan tampil ke depan untuk menentang "sumpah" ini.  Philip Jau yakin bahawa semua penduduk lembah Sungai Baram menolak empangan, namun disebabkan tekanan kerajaan mahupun kepentingan yang menggodai, sesetengahnya memilih untuk mendiamkan diri atau membantu kerajaan untuk memperdayakan rakyat di akar umbi.

Setakat ini, Philip Jau yang berulang-alik di kawasan tengah dan hulu Sungai Baram telah berjaya mengumpul lebih daripada 3,000 tandatangan untuk membantah Empangan Baram.  Malah, Empangan Murum yang bakal dimulakan telah menerima tentangan daripada 70% hingga 80% penduduk.

"Menurut laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), projek empangan Murum diketengahkan sejak tahun 1985, namun segala-galanya beroperasi dalam kegelapan... sehinggalah diumumkan pada tahun 2007 kepada khalayak... Mereka langsung tidak mahu diketahui rakyat!" kata Philip Jau.

Tinjauan kedua-dua projek di Empangan Murum dan Empangan Baram dipertanggungjawabkan kepada China Three Gorges Project Corporation.  "Isu ini terbongkar ketika mereka berunding dengan corporation tersebut."

Memandangkan Malaysia antara negara yang menandatangani Deklarasi PBB tentang Hak-hak Masyarakat Asli (UN Declaration on the Rights of Indigenous Peoples), Philip Jau menganggap kerajaan perlu meneliti kandungan deklarasi tersebut.

"Apa-apa pun sebelum dilaksanakan perlu direstui rakyat, " katanya.  Kaum asli yang mempunyai Native Customary Land Rights berhak untuk menolak penggunaan tanah oleh kerajaan untuk pembinaan empangan.  Philip Jau menambah, "Apa yang kami mahu bukanlah banyak, kami hanya mahu hak kami dipandang berat (kerajaan), mengiktiraf apa yang dimiliki kami.  Jangan musnahkan segala-galanya." (Bahagian ketiga, tamat)

Bahagian pertama: Nenek moyang Penan mati sekali lagi

Bahagian kedua: Dari mata orang asli: Pembangunan ala-pembunuhan

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.  Laporan ini ditulis berdasarkan lawatan wartawan ke kawasan yang menerima kesan daripada pembinaan empangan di Sarawak. 



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>