2014-07-24 12:27pm
 
ANALISA
 
Peningkatan kos RM1.43 bilion
Ketua Hakim Negara terlibat
 
Neo Chee Hua | Oct 31, 2009 01:25:21 pm
Kongsi |

Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh yang mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.43 bilion, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, bakal disiasat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) pada minggu depan.  Apa yang mengejutkan, salah seorang watak utama dalam projek ini ialah Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid (gambar kanan) memaklumkan kepada media pada 29 Oktober, bahawa Ketua Pengarah Audit Negara telah memberi penjelasan ringkas mengenai laporan audit tersebut.  PAC akan bermesyuarat pada minggu depan, dan menyiasat kes mengikut keutamaan.

Menurut Azmi Khalid, kes terbesar ialah Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh yang mengalami peningkatan kos sebanyak RM1.43 bilion.  Sebagaimana yang diketahui, PAC bakal memanggil kementerian (Pengangkutan) dan semua kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut untuk disoal siasat.

Sekali imbas, peningkatan kos projek kerajaan adalah sesuatu yang lumrah menurut Laporan Ketua Audit Negara.  Fokus sememangnya ditumpukan kepada penyelewengan dan angka peningkatan kos/kerugian.  Tetapi, apa yang lebih penting, siapa yang terlibat dalam projek tersebut?

Dalam skandal sedemikian, tidak kurang ahli politik dan pegawai awam kanan yang terlibat, dengan menggunakan status diri yang istimewa, dan kelebihan hubungan berkepentingan untuk memanipulasi maklumat dan sumber, lantas mengaut keuntungan diri tanpa disedari rakyat.  Mereka yang seharusnya "memimpin melalui teladan" ini, sebaliknya menyabit kesalahan walaupun bertauliah, lebih menjejaskan negara berbanding dengan kerugian dari segi kewangan.

Antara watak utama dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini ialah Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi (gambar kiri) yang memegang tampuk kuasa kehakiman.  Zaki Azmi dikaitkan dalam projek ini kerana salah satu kontraktor yang terlibat dalam projek ini ialah Emrail Sdn Bhd.  Zaki Azmi ialah pemegang saham terbesar dengan 58% dalam syarikat ini, malah menyandang jawatan Pengerusi, ketika projek ini dalam proses pembinaan.

Projek bernilai RM4.3 bilion

Menurut perkiraan asal Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, nilai projek ini berjumlah RM4.34 bilion, terbahagi kepada Pakej Infrastruktur dan Pakej Sistem, dipertanggungjawabkan kepada dua kontraktor yang berlainan.

Antaranya, DRB-Hicom Berhad memperolehi Pakej Infrastruktur.  Mengikut rancangan asal, projek ini bermula pada Julai 2000, dan perlu berakhir pada Jun 2003.  Selain itu, Pakej Sistem diberikan kepada Mitsui-MTS, tempoh yang diberikan ialah antara Januari 2001 hingga Oktober 2004.

Di bawah Pakej Infrastruktur yang dikendalikan DRB-Hicom Berhad, terdapat empat sub-kontraktor.  Antaranya, Emrail Sdn Bhd mendapat kontrak projek Lay Track.  Maklumat menunjukkan bahawa Emrail Sdn Bhd telah mendapat kontrak yang jumlahnya bernilai RM700 juta (nilai pada tahun 2007) dalam projek Landasan Berkembar Elektrik ini.

Tiga sub-kontraktor yang lain ialah Perspec Prime (M) Sdn Bhd (kejuruteraan awam), UEM Bhd (pembinaan jambatan) dan IJM Bhd (pembinaan bangunan).

Namun, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, kelewatan projek disiapkan, peralatan dibeli melebihi keperluan, perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur dan lain-lain masalah, telah mengakibatkan projek ini berakhir dengan menelan RM5.77 bilion, dengan peningkatan kos sejumlah RM1.43 bilion.

Menurut kontrak asal, projek ini perlu disiapkan dalam tempoh 35 bulan, iaitu antara Julai 2000 hingga Jun 2003.  Kemudiannya, untuk menyelaraskan had tempoh antara DRB-Hicom Berhad dengan Mitsui-MTS, DRB-Hicom Berhad telah mendapat lebihan 177 hari, iaitu dari 16 Jun hingga 10 Disember 2003.

Emrail paling lewat siapkan projek

Namun demikian, Laporan Ketua Audit Negara 2009 menunjukkan Pakej Infrastruktur yang dipertanggungjawabkan kepada DRB-Hicom Berhad hanya menyiapkan 76.8% daripada projek tersebut, pada hari terakhir had tempoh, iaitu 10 Disember 2003.  Laporan syarikat perunding yang dilantik Kementerian Pengangkutan, KS-Opus menunjukkan masalah penangguhan dalam projek Pakej Infrastruktur semakin serius antara November 2002 hingga Oktober 2003.

Antaranya, Emrail Sdn Bhd hanya menyiapkan 56.9% daripada projeknya pada 10 Disember 2003, merupakan syarikat yang paling serius dalam masalah lewat siap.  Tiga kontraktor yang lain masing-masing mencatat antara 71.4% hingga 76.7% daripada projek.  Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Pengangkutan telah menamatkan kontrak DRB-Hicom Berhad pada 5 Ogos 2005, setelah diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, penyelewengan di atas bukan sahaja mengakibatkan kelewatan projek ini disiapkan, malah kemudahan infrastruktur gagal digunakan sepenuhnya kerana tidak dapat diselaraskan.  Dari segi kos, sehingga 10 Disember 2008, kerajaan perlu membayar RM5.77 bilion untuk projek ini, RM1.43 bilion lebih tinggi dari kos asal.

Lebih penting, kerajaan perlu menanggung kos bernilai RM1.14 bilion, kerana menurut perjanjian antara kerajaan dengan DRB-Hicom Berhad, pampasan maksima yang boleh dituntut oleh kerajaan daripada kontraktor ialah RM 257.99 juta. (Bahagian pertama, bersambung)

Bahagian kedua: Punca peningkatan kos Projek Landasan Berkembar

Bahagian ketiga: PAC bakal soal-siasat Ketua Hakim?

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>