2014-07-23 09:37am
 
ANALISA
 
Belanjawan untuk hadapi PRU ke-13?
 
MerdekaReview | Oct 24, 2009 10:16:03 am
Kongsi |

Belanjawan tahun 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Najib Abdul Razak memperlihatkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional mula mengatur langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Selain pengagihan peruntukan yang cuba mengambil hati setiap kaum, Belanjawan 2010 yang bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" ini juga menyahut beberapa tuntutan politik, misalnya mengambil langkah memerangi rasuah dengan penggubalan Whistle Blower Act dan penubuhan mahkamah khas kes rasuah.

Jelas, belanjawan sulung Najib selaku PM ini bakal ditampilkan sebagai belanjawan yang pragmatik oleh media arus perdana, lebih-lebih lagi apabila pembangkang mahupun pemimpin Pakatan Rakyat memerlukan lebih masa untuk mengkajinya.  Najib bakal diraih dengan tepukan sekali lagi, selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-60 yang melabuh tirai pada minggu lalu.

Menyentuh keperluan kaum

Dalam persepektif masyarakat Cina yang berpendidikan Cina, pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan sama ada Cina mahupun Tamil, telah dijadikan kayu ukur sama ada kerajaan BN berlaku adil atau tidak kepada komuniti etnik lain.  Malah, peruntukan untuk pembinaan SRJK (c) baru (bukan sekadar pemindahan) menjadi kayu ukur sama ada MCA berperanan/berpengaruh atau tidak dalam kabinet.

Menambah-bina SRJK(c) hanyalah janji yang ditaburkan ketika pilihan raya selama ini.  Selepas tamatnya penggal kerajaan, janji kekal sebagai janji, kemudian diulang sebagai janji baru (manifesto) untuk mengaut undi.  Adegan ini terbongkar juga pada akhirnya, menjadi antara faktor yang menjurus kepada tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Kali ini, Najib mengambil langkah bijak apabila mengumumkan sejumlah RM 1.6 bilion disediakan bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah.  Malah dinyatakan bahawa peruntukan ini adalah untuk Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school), walaupun tanpa dinyatakan nisbahnya.

Najib tidak lupa untuk memberi reaksi kepada tuntutan Parti Hak Asasi Manusia (PAHAM) yang diketuai pemimpin Hindraf P. Uthayakumar, apabila RM 20 juta disediakan khas untuk usahawan kecil India (tambahan kepada RM15 juta yang sedia ada).  Pada 13 Oktober, P.Uthayakumar mencadangkan kepada kerajaan Najib agar menambah peruntukan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana kaum India.

PRU ke-12 yang menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat menyapu 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut disentuh keperluannya.  "Tsunami politik" yang melanda ibu kota ini lebih dijuruskan beban ekonomi yang menekan, masalah yang melangkaui semua kaum, daripada hanya sentimen masyarakat bukan Melayu.

Justeru itu, peruntukan RM48 juta disalurkan, bahkan kementerian yang bakal bergelar Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program membasmi kemiskinan bandar, malah mensasarkan golongan yang berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan.

Namun, Najib tidak lupa untuk menabur peruntukan di kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi apabila kawasan ini merupakan kubu BN untuk mengekalkan kuasa kerajaan di genggaman.  RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur kawasan luar bandar, malah RM857 juta daripadanya telah disalurkan kepada Sarawak dan Sabah.

Menyahut tuntutan politik

Bukan sekadar memenuhi keperluan ekonomi komuniti masing-masing, Najib yang selama ini dikritik tidak bertekad untuk mereformasikan sistem politik, seperti usaha membanteras rasuah, membuka ruang demokrasi, telah mengumumkan penggubalan Whistle Blower Act dan penubuhan 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan 4 buah Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah, sebagai tambahan kepada 4 buah mahkamah yang sedia ada di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Pakatan Rakyat sememangnya boleh mempertikaikan bahawa langkah "reformasi politik" Najib terlalu kurang untuk menjawab tuntutan masyarakat umum.  Malah, PR akan terus mempersoalkan keikhlasan dan keberkesanan kerajaan Najib untuk menangani masalah rasuah kerana tidak bertekad untuk "membebaskan" sistem kehakiman dari kawalan.  Kes yang dirujuk adalah kes Tian Chua, ahli parlimen Batu PKR yang dijatuhkan hukuman kerana "menggigit polis", dan keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam Lingam Tape.

Malah, PR boleh terus dengan perjuangan "Akta Gaji Minima", namun ia mungkin tidak "populist" kerana bukan semua kelas terutamanya peniaga menyetujuinya, walaupun isu ini meresap ke dalam denyutan nadi golongan buruh yang terlibat.

Oleh itu, tidak keterlaluan bahawa Belanjawan 2010 ini dikatakan sebagai Belanjawan PRU ke-13, seandainya dibaca dalam konteks politik Malaysia.  PR berdepan dengan cabaran apabila tuntutan, dasar malah slogan mereka diambil-alih oleh kerajaan Najib, walaupun pernah dikritik tidak lama dahulu.

Apakah langkah PRU ke-13 semakin menghampiri?

*Analisa ini disusun daripada laporan-laporan MerdekaReview.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>