2014-07-26 11:10pm
 
KHAS
 
"Tak pernah di zaman Mahathir":
Kartunis ditekan jentera negara
 
Lim Hong Siang | Sep 03, 2009 01:20:12 pm
Kongsi |

Walaupun Perdana Menteri Najib Abdul Razak menjanjikan media yang bebas ketika mengambil alih tampuk pimpinan, namun buat kali pertama kartunis tempatan berdepan dengan tekanan dari jentera negara melalui institusi penguatkuasaan, selepas 100 hari pentadbirannya.

Kartunis yang paling sinikal terhadap Mahathir Mohamad, Zunar mengaku bahawa insiden sedemikian tidak pernah berlaku walaupun dalam zaman pemerintahan bekas PM itu sendiri.  Zunar secara individu menghadapi tekanan politik apabila mencetus kontroversi dengan kartun "SAR"-nya, yang memaparkan watak Mahathir berupa khinzir.

Menarik perhatian antarabangsa

Zunar, atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Haque juga bersetuju bahawa serbuan pegawai Kementerian Dalam Negeri pada 25 Ogos di pejabatnya dan kilang pencetak pada hari keesokannya, merupakan "satu langkah ke belakang" dalam usaha membuka ruang kebebasan bersuara.

Pandangan ini sememangnya berasas, apabila serbuan KDN tersebut menarik perhatian antarabangsa, sehingga laman web kartun terkemuka di dunia, Daryl Cagle  memberi liputan kepadanya.  Malah, Zunar kemungkinan menjadi kartunis pertama yang berdepan dengan hukuman penjara dan denda, jikalau dituduh di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Gedung Kartun, "majalah jenaka alternatif" dwi-bulan yang diketuai Zunar telah diserbu terbitan sulungnya atas tuduhan "terbitan tanpa permit".  Namun, spekulasi sebelum ini mungkin tepat, apabila Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein mengakui bahawa "kandungannya tidak sesuai" semalam.

Gedung Kartun telah memaparkan beberapa karya yang mengusik PM dan isterinya, dipercayai punca sebenar majalah kartun politik ini diambil tindakan.  Dalam termuramah bersama MerdekaReview semalam di pejabatnya, Zunar tegas mempertahankan ruang kebebasan bersuara, khususnya melalui kartun.

Publisiti percuma oleh KDN

Sambil berseloroh, Zunar berkata serbuan tersebut merupakan satu publisiti yang merangsang permintaan majalah tersebut, sehingga Zunar terpaksa mengakui bahawa beliau tidak pernah menerima sokongan sedemikian sepanjang hayatnya melukis kartun.

Bagaimanapun, beliau kembali serius dengan berkata, "Saya perlu tekankan di sini bahawa Gedung Kartun tidak hidup berdasarkan serbuan itu.  Bukan itu kita punya kekuatan.  Sebab Gedung Kartun punya kekuatan sendiri.  Saya tak mahu dilihat sebab rampasan itulah Gedung Kartun jadi laris."

"Gedung Kartun adalah majalah kartun yang pertama di Malaysia, yang menampilkan kartun-kartun dari perspektif alternatif......yang memuatkan isu-isu semasa, penuh dengan kritikan dan dari perspektif yang jarang disentuh oleh majalah yang tersedia ada dalam pasaran," tambahnya,

Untuk Zunar, tindakan kerajaan kali ini memperlihatkan jentera negara bukan sahaja mencerobohi hak berkartun seseorang individu, tetapi hak berkarya sekumpulan kartunis.

"Saya dapat rasakan, bahawa mungkin majalah macam ini, adalah sesuatu yang kerajaan tidak mahu lihat, tidak mahu berkembang."

Demikianlah luahan hati Zunar, sebelum diteruskan pandangannya, "kerajaan tidak suka media yang memaparkan pandangan alternatif, dalam apa-apa bentuk.  Apa lagi dalam bentuk kartun.  Dari politik, ini juga tindakan yang menutup hak asasi, hak bersuara...terutama kebebasan akhbar, kebebasan media dan kebebasan bersuara."

"PM ketika mula-mula naik (berkuasa) menjanjikan media yang lebih bebas.  Tapi tindakan ini bertentangan dengan janji PM," protesnya. 

Kartunis sebagai pengkritik dasar kerajaan

Selama ini, kartun hanya dilihat sebagai "bahan jenaka", tanpa dipandang berat peranannya sebagai bentuk "suara rakyat" yang boleh mengkritik dasar kerajaan.  Namun, keadaannya berbeza sekiranya dibandingkan dengan negara lain.

"Tak usah kita nak banding dengan Amerika atau Britain, kita banding dengan negara Asia sudah.  Saya pergi ke Thailand, Filipina dan Indonesia, trend kartun yang mengkritik dasar kerajaan berkembang subur.  Dalam erti kata lain, peranan kartunis sebenarnya membawa suara rakyat," jelas Zunar.

"Kalau rakyat tidak suka sesuatu dasar yang dilihat tidak adil, rakyat menyuarakan.  Ada yang membuat demonstrasi, ada yang beri ucapan di pentas, kartunis juga membawa isu-isu ini, dalam bentuk kartun," tambahnya.

Membangunkan bidang kartun tanahair

Dalam satu wawancara bersama penulis empat tahun yang lepas, Zunar melontarkan kritikannya terhadap kartunis tanahair.  Beliau menuduh bahawa kartunis tempatan malas menerokai bidang pengetahuan baru, malah cenderung untuk mengikut trend, mengulangi topik yang sudah dipopularkan.

Namun demikian, pandangan Zunar berbeza selepas wujudnya Gedung Kartun.  Malah, beliau mengakui bahawa kritikan terhadap kartunis tempatan tanpa memberi ruang mereka untuk berkarya "mungkin tidak adil". 

"Saya perlu wujudkan satu ruang untuk mereka berkarya, untuk mengetahui sama ada mereka betul-betul tidak mengambil berat, ataupun tidak ada tempat untuk mereka melukis," katanya.

"Dalam Gedung Kartun, ada kartunis dari media arus perdana, of course bukan guna nama sebenar.  Ertinya, ini bermakna kalau dulu saya kata 'kamu bekerja di akhbar perdana, itulah kartun yang kamu dapat hasilkan'.  Tetapi sebenarnya tidak.  Mereka dilarang menghasilkan kartun-kartun yang mereka nak.  Bila ada Gedung Kartun, mereka dapat lukis kartun yang betul-betul mereka mahukan," jelasnya.

Mempertahankan ruang berkarya

Kejayaan Gedung Kartun sebagai medan tonjol bakat 12 orang kartunis telah memberangsangkan Zunar.  Sekiranya dalam 10 tahun kebelakangan ini beliau bermain solo dalam dunia kartun politik, kini beliau bercita-cita untuk melahirkan sekumpulan kartunis yang betul-betul peka kepada isu semasa, dan melukis dari hati.

Secara terus-terang, beliau berkata Gedung Kartun bertujuan untuk memberi ruang, bukan hanya untuk kartunis yang sedia ada, tetapi juga kartunis muda.  Beliau cukup sedar bahawa ketiadaan gelanggang bakal membunuh bakat baru.

Mungkin rangsangan tersebut, Zunar (gambar kiri)  tegas dengan tekadnya.  "Saya tidak fight (lawan) untuk satu majalah.  Saya bukan fight untuk Gedung Kartun.  Saya fight untuk supaya lebih ramai kartunis diberi ruang atau ada ruang untuk berkarya, melahirkan kartun-kartun alternatif."

Malah, beliau kelihatan bersahaja dengan serbuan KDN, dan tidak tunduk dengan tekanan sedemikian.

Zunar berkata, "Tak apalah.  Kalau Gedung Kartun nak diharamkan, haramkanlah.  Saya tidak jadi masalah.  Tapi jangan sekat suara kartunis.  Saya nak wujudkan suara kartunis.  Ini sebenarnya yang saya cuba wujudkan.  Gedung Kartun hanya satu alat.  Matlamat saya supaya sekumpulan kartunis baru muncul menyatakan pendirian dalam karya mereka." (Bahagian pertama, bersambung)

Bahagian kedua: Zunar: Lukis apa yang saya fikirkan...

Zunar nafi sekeras-kerasnya tuduhan KDN

Gedung Kartun: KDN serbu kilang cetak

KDN serbu Gedung Kartun

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>