2014-08-01 03:35am
 
KHAS
 
Surat misteri terdedah?
 
| Aug 20, 2009 05:49:20 pm
Kongsi |

Malaysia-Today membuat kejutan dengan artikel yang berjudul "The shit has hit the fan".  Tiada sebarang tulisan daripada penulis, hanya "artikel" yang di-"scan" dan ditampal pada ruang kolum tersebut. 【Baca: The shit has hit the fan】

MerdekaReview cuba mendapat pengesahan daripada Gobind Singh Deo, peguam yang menyerahkan "surat misteri" dalam inkues Teoh Beng Hock semalam, sama ada apa yang tersiar itu adalah kandungan asal "surat misteri", namun dibalas dengan smsnya berbunyi, "Can't comment."

Yang berikut adalah teks asal yang disiarkan di Malaysia-Today:

KEGIATAN RASUAH, SALAHLAKU DAN PENYELEWENGAN PEGAWAI ATASAN SPRM SELANGOR.

Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada perkara di atas.

Adalah dimaklumkan bahawa kami pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) rasa terpanggil untuk mendedahkan tentang salahlaku dan amalan rasuah seorang Pegawai Atasan SPRM iaitu TIMBALAN PENGARAH (TP) SPRM Selangor yang bernama PKPj I HISHAMUDDIN BIN HASHIM yang mana ianya adalah bersangkutan dengan kes TEOH BENG HOCK dan kes yang melibatkan pemilikan rumah banglo DATO’ SERI DR MOHAMAD KHIR BIN TOYO di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

2.  Untuk pengetahuan Y. Bhg. Tan Sri / Dato / Tuan / Puan, TP sememangnya terlibat secara langsung dengan siasatan kes penyelewengan dana Kerajaan Negeri Selangor bagi peruntukan YB Ean (Adun Seri Kembangan).  Penglibatan beliau bukan hanya untuk arahan rasmi sahaja, bahkan beliau juga memberikan arahan kepada pegawai bawahan untuk mencari sedaya mungkin tentang kesalahan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor sekarang.  Beliau bertindak sedemikian adalah kerana beliau ada membuat pakatan dengan Khir Toyo untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor sekarang.  Ekoran daripada tindakan beliau yang gelojoh, maka kematian Teoh Beng Hock telah terjadi.  Timbul beberapa persoalan yang mencurigakan kepada kami pegawai-pegawai SPRM Malaysia tentang macammana Teoh Beng Hock boleh mati.  Kami semua mengesyaki TP yang bertanggungjawab dengan kematian Teoh Beng Hock berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

i)  TP telah memberikan arahan kepada semua pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam operasi itu, untuk tidak melibatkan beliau langsung dalam kes ini.  Sebenarnya beliaulah yang memberikan semua arahan di dalam operasi ini dan juga operasi-operasi lain di SPRM Selangor.  Sebenarnya beliau takut untuk dikaitkan kerana ini boleh merungkaikan komplot beliau dengan Khir Toyo.

ii)  Pihak kimia telah menjumpai kesan cap jari dan DNA lelaki misteri pada sebelah depan di bahagian 2 sisi tali pinggang Teoh Beng Hock.  Mengikut pada pengetahuan kami pegawai-pegawai SPRM Malaysia, TP mempunyai teknik soalsiasat yang tersendiri iaitu beliau selalu menyoalsiasat seseorang dengan cara memegang di bahagian hadapan tali pinggang individu dan mengangkatnya beberapa kali serta menggoncangnya.

iii)  Proses pengambilan DNA ke atas pegawai-pegawai SPRM Selangor telah dilakukan sebanyak 2 sesi.  Pada sesi pertama pengambilan sampel DNA dibuat, TP telah bergegas melarikan diri untuk tidak memberikan sampel DNAnya.  Walaubagaimanapun, TP dikatakan telah memberikan sampel DNAnya semasa sesi yang kedua tetapi keraguan yang timbul ialah TP telah memberikan sampel DNAnya di dalam bilik pejabatnya, sedangkan semua pegawai SPRM termasuk pengarah SPRM sendiri telah memberikan sampel DNA masing-masing di dalam bilik mesyuarat secara beramai-ramai.  Kenapa TP memberikan sampel DNA secara tersembunyi?  Adakah DNA yang diberi itu adalah DNA beliau?  Kami pegawai-pegawai SPRM Malaysia merasa pelik kerana tiada seorang pun sampel DNA yang berpadanan dengan DNA lelaki misteri?  Kami mengesyorkan supaya ujian DNA terhadap TP mestilah dilakukan sekali lagi dengan disaksikan oleh orang-orang yang boleh dipercayai.

iv)  Kami mendapat maklumat mengatakan bahawa TP telah mengarahkan pegawai bawahannya untuk mengelap / mengesat kesan cap cari pada tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh.  Ini terbukti apabila pihak polis tidak menjumpai apa-apa kesan cap jari baru atau lama pada tingkap tersebut.  Persoalannya, kenapa TP mengarahkan untuk bertindak sedemikian?

v)  Kami mengesyaki berdasarkan maklumat yang diperolehi bahawa TP tidak mengetuk kad perakam waktunya (punch-card) semasa beliau hendak balik daripada pejabat pada 16hb Julai 2009, jam 6.10 pagi.  Ini penting kerana ia boleh membuktikan bahawa TP adalah orang yang terakhir melihat Teoh.  Persoalannya, kenapa beliau tidak mengetuk kad perakamnya sedangkan beliau adalah seorang yang selalu mengetuk kadnya.  Untuk rekod, beliau adalah seorang yang teliti dengan kad perakamnya.

3.  Untuk pengetahuan Y. Bhg. Tan Sri / Dato / Tuan / Puan, TP berkenaan adalah sangat berkuasa dalam menjalankan operasi siasatan di Sekitar Selangor, mahupun seluruh Malaysia.  Di SPRM Selangor sahaja, beliau adalah orang yang paling penting untuk membuat keputusan samada sesuatu kes dituduh ataupun tidak walaupun kuasa tersebut sepatutnya dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP).  Keputusan yang dibuat oleh beliau itu cenderung kepada kepentingan peribadi dan konco-konconya.  Jadi tidak hairanlah jika beliau meneraju Unit Siasatan SPRM / BPR Selangor sejak belasan tahun lagi iaitu semenjak daripada kerajaan Negeri Selangor diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional (Khir Toyo) dan sehingga Kerajaan Negeri Selangor sekarang.  Beliau telah dinaikkan pangkat dengan begitu cepat sekali iaitu daripada Gred 41 hingga Gred 54 dengan hanya memakan masa lebih kurang 16 tahun sahaja tanpa bertukar ke tempat lain dan kekal di SPRM Selangor sehingga sekarang.  Jika diikutkan kepada dasar jabatan SPRM / BPR, setiap pegawai yang dinaikkan pangkat atau bertugas melebihi 5 tahun di suatu negeri, pegawai tersebut akan ditukarkan ke tempat lain bagi mengelakkan pegawai tersebut terjerumus dengan masalah rasuah setempat.  Salah satu sebab beliau tidak ditukarkan ke mana-mana adalah kerana beliau ditugaskan untuk "menjaga" kepentingan Dato" Seri Dr Khir Toyo di Selangor.  Oleh yang demikian, sebagai balasan, Khir Toyo juga perlu "menjaga" kepentingan beliau di Selangor.

4.  Kesan daripada keadaan beliau yang selesa di BPR / SPRM Selangor dari dulu hingga sekarang, beliau telah terlibat dengan pelbagai perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.  Antara perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa TP yang dapat kami kesan / siasat adalah seperti berikut:

i)  Menutup kes Khir Toyo berkenaan dengan keluluskan projek pembinaan jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hamper disenaraihitamkan, Meram Holdings.  Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta.  Subkontraktor yang menjalankan semua projek berkenaan ialah Cabaran Wangsa, di miliki Pua Kim An, iaitu tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang member keuntungan minimum RM20 juta.

ii)  Memiliki aset yang melebihi emolumennya seperti:

a. Mempunyai beberapa buah rumah sewa yang mana salah satunya adalah Rumah Teres 2 tingkat (Mewah) yang dibeli dengan harga istimewa daripada Pemaju Kumpulan Lebar Daun Development Sdn Bhd, hasil daripada penutupan kes yang disiasat ke atas Group Executive Chairman, Dato' Noor Azman @ Noor Hizam bin Mohd Nurdin.  Kes tersebut disiasat oleh BPR Selangor dalam beberapa tahun yang lepas serta beberapa buah rumah lagi yang beliau miliki.  Untuk mengaburi mata awam dan pegawai-pegawai bawahan, beliau hanya tinggal di Kuarters Kerajaan di Kg. Atap, Kuala Lumpur.

b. Mempunyai sebuah stesen Minyak Petronas di sebelah kiri Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway) KM 8.6 – KM 8.7, Seksyen 1, Lebuh Raya Persekutuan, Shah Alam, 40000 Selangor berdekatan dengan Bulatan Melati, yang menghala dari Shah Alam ke Klang, didaftarkan diatas nama abang beliau.  Stesen minyak tersebut adalah baru beroperasi pada tahun ini (2009) yang mana ianya dibina di atas (sebahagian daripada) kawasan perkuburan cina.  Beliau berjaya mendapat tapak bagi membina stesen minyak tersebut hasil daripada kuasa yang beliau ada dan juga daripada zaman pemerintahan Khir Toyo di Selangor.

c. Mempunyai beberapa bidang tanah di sekitar Shah Alam, yang mana salah satunya dipercayai di sebelah SACC Mall yang baru yang mana ianya didaftarkan di atas nama isteri kepada seorang pemandu di SPRM Selangor bernama Abdullah b Azim, seorang suri rumah sepenuh masa dan berumur lewat 30-an.

iii)  Pernah ditangkap berkhalwat dengan Pegawai Bawahan berpangkat Penyiasat bernama Nor Azlina bt Mustafa di tepi Tasik Shah Alam pada awal tahun 2009 oleh 2 orang anggota polis, sebaliknya beliau menunjukkan kad kuasa beliau dan memaklumkan kepada anggota polis berkenaan bahawa beliau dan pegawai tersebut sedang menjalankan operasi dan mereka telah dilepaskan.  Setelah beberapa siri ‘keintiman’ beliau bersama dengan Penyiasat tersebut telah diketahui oleh banyak pihak termasuklah isterinya sendiri.  Tindakan yang diambil oleh Jabatan hanyalah menukarkan penyiasat tersebut ke SPRM Ibu Pejabat, Putrajaya.  Tindakan ini tidaklah berkesan kerana Azlina masih lagi selalu bersama dengan TP di pejabat Selangor.

5.  Tujuan Surat ini dibuat adalah untuk menegakkan keadilan dan mencegah penganiayaan khususnya di dalam SPRM dan amnya di Malaysia.  Kami di SPRM sudah tidak tahan melihat kerenah beliau yang mendapat restu daripada pihak atasan seperti kata pepatah “beraja dimata, bersultan dihati”.  Kami di SPRM sendiri sudah hilang punca untuk mencari jabatan / institusi / NGO yang boleh mengenegahkan isu ini agar tindakan yang sepatutnya dapat diambil.

6.  Kami pegawai-pegawai SPRM amat berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak Y. Bhg. Dato’ / tuan / puan yang boleh mewar-warkan perkara ini kepada rakyat dan pihak yang bertanggungjawab agar ada satu organasasi / NGO yang boleh mengambil tindakan yang sepatutnya atau independent investigation sehingga perkara ini boleh dibawa ke kabinet.  Perkara ini sangat penting kerana ia melibatkan integriti seorang pegawai yang berkhidmat di sebuah jabatan yang menguatkuasa undang-undang tentang kesalahan integriti manusia.  TP sekarang cenderung dan berusaha sedaya upaya dengan mengerahkan pegawai bawahannya untuk mencari kesalahan PKR yang memerintah negeri Selangor sekarang dengan harapan PKR akan tumbang di Selangor dan rahsianya akan selamat.  Untuk pengetahuan pihak Y. Bhg. Dato’ / tuan / puan juga, TP sekarang takut apabila berita tentang Dato’ Seri Khir Toyo telah keluar di media dan beliau amat takut jika kes tersebut akan membongkarkan tentang kesnya.

7.  Harapan kami adalah, ada pihak yang berani menyuarakan maklumat kami agar tindakan kami ini mendapat perhatian daripada pihak yang berwibawa dan tindakan yang adil dapat dikenakan kepada beliau dan dihadapkan ke muka pengadilan.  Kami sendiri sudah tidak mampu untuk mengambil tindakan ke atas beliau kerana beliau mempunyai “cable” dengan pihak atasan.

8.  Kerjasama daripada pihak Y. Bhg. Tan Sri / Dato’ / tuan / puan amatlah dihargai dan diharapkan daripada tindakan Y. Bhg. Tan Sri / Dato’ / tuan / puan ini, banyak lagi maklumat-maklumat yang boleh membongkarkan manusia-manusia yang tidak berintegriti disalurkan agar SPRM dan pegawai-pegawainya bersih daripada rasuah.

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK SPRM/NEGARA YANG DICINTAI"

Kami yang menurut perintah,
PEGAWAI-PEGAWAI SPRM MALAYSIA



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>