Cetak Kongsi    Saiz Teks:

MUALLAF:
Perlukah kita bersifat dendam?

Faisal Mustaffa | Jan 25, 2010 12:11:27 pm

 

"Seorang teman pernah menceritakan sewaktu zaman kanak-kanaknya, dia ditangkap oleh ibu bapanya yang berpegang teguh dengan ajaran Katolik sewaktu melakukan onani dan sebagai pengajaran, dia dipaksa berbogel dan ditinggalkan di tepi jalan raya.  Tidak lama selepas itu, anak saudara saya memberitahu bahawa teman wanitanya yang beragama Islam, telah dicukur botak oleh bapanya sendiri sebagai hukuman menjalinkan hubungan dengan jejaka yang bukan beragama Islam.

Dua cerita ini membuat saya tertanya-tanya bagaimana sesetengah orang mampu bertahan setelah trauma yang mereka alami sewaktu kecil, atas perbuatan orang yang mereka kasihi.  Saya juga tertanya-tanya apa akan berlaku jika jejaka Katolik itu bertemu dengan gadis beragama Islam itu.

Sewaktu saya menulis skrip mengenai pertembungan dua dunia ini, saya menyedari bahawa saya tidak lagi dibayangi oleh sejarah hitam zaman kanak-kanak dengan berbuat sesuatu yang mudah tapi payah sekali iaitu memaafkan sesiapa yang telah berbuat salah terhadap saya.  Saya tahu pada mulanya ini adalah sebuah cerita yang berat.  Pada saat itu saya juga sedar bahawa saya tidak berminat untuk membuat sebuah filem berat.  Bagi memastikan nilai cerita, saya mengadakan persamaan untuk diri saya: filem ini akan diibaratkan seperti sup 'tom yam'.  Jelas, tetapi pedas dan berperisa.

Dengan itu, lahirlah 'Muallaf'. " -- Yasmin Ahmad (gambar kanan)


Aku melihat filem ini banyak memperbincangkan sifat-sifat negatif manusia.  Sifat iri hati, makan rasuah, tikam belakang, fitnah-memfitnah dan mencuri harta orang lain tidak menjadi suatu yang dilakukan secara terbuka.

Semuanya berlingkar di dalam benak hati manusia.  Filem ini membawa setiap orang yang menonontonnya "mencerminkan diri mereka sendiri; adakah mereka juga bersifat demikian?"

Allah melalui firman-firmannya di dalam al-Quran banyak mengingatkan umat manusia supaya tidak bersifat dendam.  Salah satu ayat yang dibentangkan di dalam Muallaf ialah ayat 4:43 dari ayat An-Nisaa yang menyebut;

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kami kerjakan sembahyang, ketika kamu sedang mabuk, kecuali jika kamu telah mengetahui apa-apa yang kamu katakan dan jangan pula sedang junub (sudah campur dengan isterimu), kecuali melalui jalan (tempat sembahyang), sehingga kamu mandi lebih dahulu.  Kalau kamu akit atau dalam perjalanan atau datang salah seorang di antara kamu dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tiada memperoleh air, maka hendaklah kamu tayamum dengan tanah yang bersih; maka sapulah mukami dan kedua tanganmu dengan kedua tanganmu (dengan tanah itu).  Sesungguhnya Allah pemaaf lagi pengampun."

Menurut Tafsir Quran Karim (Prof Dr H. Mahmud Yunus, 1973), Allah mengingatkan umatnya untuk banyak bersabar dalam menangani sesuatu masalah.  Ia harus dimulakan dengan nasihat dengan perkataan yang lemah lembut.  Sekiranya ianya tidak memberikan hasil, maka tinggalkan dia di tempat yang membolehkan dia berehat keseorangan.  Kalau hal itu tidak berhasil juga, boleh dipukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan badannya.  Alternatif terakhir yang membawa bertambahnya keras kepala, maka akhirnya boleh diambil jalan penyelesaian dengan perceraian.

Bagi menerangkan persepsi pengarah mengenai unsur ini, Yasmin Ahmad menggunakan Brian (lakonan Brian Yap) yang memberontak (secara tidak langsung) atas apa yang pernah berlaku terhadap dirinya semasa kecil.  Perbuatan seperti mengeluarkan mani dengan sengaja (sebut merancap)….. menjadi satu sifat negatif di dalam ajaran agama.  Mungkin sifat sebegini secara fizikal dan saintifiknya normal bagi seorang lelaki yang mula baligh, tetapi apa sekiranya perbuatan di dalam bilik air itu terbongkar?

Di dalam cerita ini, ibubapa Brian mempunyai pegangan agama kuat terhadap kepercayaan katolik.  Penganut katolik percaya perbuatan seperti merancap itu perbuatan yang membawa kepada dosa.  Brian didapati ditangkap sedang membelek majalah lucah yang memaparkan model-model wanita yang memperagakan bahagian tubuh sulit mereka sambil memperagakan seolah-olah biarawati.  Maka, Brian dihukum dengan ditelanjangkan di khalayak ramai dan dibiarkan pulang bersendirian dengan telanjang bulat.  Brian pada waktu itu berusia sembilan tahun.

Perisitwa hitam itu sudah semestinya tersemat di dalam fikirannya.  Selepas bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tidak bergantung kepada keluarga, Brian sudah mula mahukan pembalasan.  Beberapa babak melalui perbualan telefon dengan ibunya, menunjukkan sikap mahu membalas dendam atau menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keluarganya.

Babak yang paling ketara ialah apabila Mrs. Siva menyebat Rohana hanya kerana lukisannya ialah gambar bunga sedangkan tugasan yang sepatutnya ialah gambar gajah.  Mungkin tindakan Mrs DSiva telah mengembalikan titik hitam pengalamannya dengan kuat sehingga berani (sebagai guru baru bertugas) "menghalang" Mrs. Siva dari melakukan "hukuman" yang sama seperti bapanya dahulu di mana kali ini dia mampu untuk bertindak balas.

Tetapi adakah pilihannya untuk mempelajari Islam sebagai alternatif kepada Katolik juga sebagai unsur membalas dendam?  Di sini, Brian tidak bertukar agama.

Muallaf: sebuah "Perjalanan

Sekadar berkongsi pengalaman, ramai pelajar freshies di IPTA didera oleh pelajar senior selepas induksi. Kegiatan seperti royal flush (pelajar freshie disuruh meletakkan kepalanya di dalam jamban dan pelajar senior akan flush jamban tersebut), helicopter (zakar freshies diikat dengan benang kepada kipas siling) menjadi kelaziman.  Alasan berbuat demikian ialah untuk melekaskan proses kemesraan di antara freshies dan seniors.  Mungkin aktiviti tersebut menghiburkan senior dan orang yang menyaksikannya tetapi bagaimana kita yang menjadi badut penderaan?  Jawapan mereka mudah, "nanti bila kau dah senior, kau buat freshies pulak".  Dan sikap membalas dendam itu menjadi tradisi.

Tetapi ada juga segelintir yang didera teruk semasa proses induksi tidak sanggup ianya berlaku kepada orang yang lain dan pengalaman itu biar padam.  Justeru, dihalangnya daripada teman-teman senior melakukan perbuatan tersebut.  Adakah sikap ini luar biasa?

Perkara yang sama berlaku kepada Rohani (lakonan Sharifah Amani) yang diaibkan bapanya dengan mencukur kepala.  Rohani membawa adiknya lari ke Ipoh.  Apabila bapanya (lakonan Rahim Razali) terlantar sakit di rumah sakit, Rohani dengan penuh kasih sayang pulang dan menjaga bapanya.

Tindakan lari dri rumah itu tidak dipaparkan sebagai tindakan memberontak seperti di dalam defines Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi sebagai jalan untuk mencari perlindungan.  Ia disampuk oleh Rohana (lakonan Sharifah Aleysha) dengan membacakan ayat 16:41 (ayat An-Nahl) yang menyebut:

"Orang-orang yang berhijrah dalam keredhaan Allah, sesudah mereka teraniaya, sesungguhnya Kami tempatkan mereka di dunia di negeri yang baik. Sesungguhnya pahala akhirat lebih besar, jika merka ketahui."

Muallaf adalah cerita tentang sebuah "Perjalanan"; seperti ungkapan kata Brother Anthony (lakonan Tony Savarimuthu), "setiap orang sedang mencari Tuhan dalam caranya sendiri".

Daripada seorang individualis (seperti kebanyakan daripada kita), keras kepala kepada seorang yang bertanggungjawab, belas kasihan dan suka menolong.

Perkenalan Brian-Rohani lebih banyak membawa kesan kepada "perjalanan perubahan" kepada diri Brian (gambar kanan) secara peribadi.  Brian yang tidak menyukai haiwan peliharaan cuba melawan sifat tersebut dengan memastikan Uncle (nama kucing peliharaan Rohani dan Rohana) tidak kebuluran.  Rutin Rohani dan Rohana menjaga seorang pesakit koma yang mereka sendiri tidak mengenalinya di hospital berdekatan juga seolah-olah membawa perubahan kepada Brian.

Rohani juga berjaya melembutkan hati Brian terhadap ibunya.  Perbandingan hubungan anak-ibu Rohani dengan Brian-ibunya menyedarkan Brian bahawa dia lebih beruntung dari Rohani kerana masih memiliki seorang ibu.  Akhirnya Brian kembali ke pangkuan ibunya sebagai tanda bahawa perwatakan Brian sudah sepenuhnya bulat balik ke titik asal-usulnya.

Unsur lain yang menarik perhatian saya dalam mengulas filem ini ialah gelagat umat Islam.  Mereka meminum arak tanpa segan-silu di khalayak ramai tetapi takut memegang anjing.  Ada juga (sebagai tambahan di luar filem) yang tidak memakan babi kerana haram tetapi berani melakukan zina.  Ada yang yang tidak menjalankan rukun Islam tetapi mengaku penganut agama Islam!

*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas.

Galeri GambarSelanjutnya