Cetak Kongsi    Saiz Teks:

Polis gunakan alasan "warga asing":
Kevin gagal jadi panelis malam ini

| Dec 09, 2009 07:32:25 pm

 

Kevin Tan gagal tampil sebagai panelis untuk forum yang bertemakan "Ke arah mana Perlembagaan? Natijah dari Krisis Perak" (Whither the Constitution? Lessons to be learnt from the Perak Crisis), anjuran MerdekaReview pada malam ini, apabila polis mengenakan syarat untuk mendapatkan "Pas Ikhtisas" atas alasan beliau seorang warga asing.

Pihak MerdekaReview telah memohon permit untuk forum ini pada Jumaat yang lalu (4 Disember) daripada IPD Petaling Jaya.  Ketika staf MerdekaReview mengikuti perkembangannya semalam (8 Disember), kami diberitahu oleh pihak polis bahawa permit tidak diluluskan kerana Kevin Tan seorang warga asing.  Menurut polis, Kevin Tan perlu memohon Pas Ikhtisas daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk memenuhi syarat sebagai panelis.

Staf MerdekaReview kemudiannya membawa semua dokumen yang diperlukan, termasuk borang pemohonan, surat pemohonan, dua keping foto bersaiz pasport, surat jemputan kepada Kevin Tan dan surat balas Kevin Tan ke Jabatan Imigresen di Putrajaya pada hari ini untuk memohon mengikut prosedur, namun diberitahu oleh pegawai bahawa mereka memerlukan tujuh hari (hari bekerja) untuk memproses pemohonan tersebut.

Dengan kata lain, Kevin Tan "tidak sempat" untuk tampil sebagai panelis dalam forum yang bertempat di Auditorium Pusat Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada jam 8 malam ini.

Ketika ditemuramah MerdekaReview menerusi telefon, Kevin Tan (gambar kiri) mendakwa bahawa ini pengalaman pertamanya untuk bersyarah di Malaysia.  Beliau pernah diundang untuk bersyarah di Malaysia sebelum ini, tetapi tidak pernah dikenakan syarat untuk memohon permit.

Walau bagaimanapun, Kevin Tan terpaksa menghormati keputusan ini kerana polis berkuasa untuk berbuat demikian.  Kevin Tan berkata, mungkin ada pihak yang bimbang syarahannya bakal "mengecewakan orang Malaysia", atau menganggap aktiviti ini bukan forum yang sebenarnya, malah mempunyai unsur politik, lantas menolak untuk meluluskan permit.

Beliau berkata, "seandainya itulah keadaanya, siapa berani untuk datang (bersyarah di Malaysia)?"

Kevin Tan ialah graduan dari Yale University, seorang pensyarah di Singapura, dan juga Monash University di kampus Kuala Lumpur.  Selain itu, beliau juga banyak menulis mengenai perlembagaan Malaysia dan Singapura.

Walau bagaimanapun, MerdekaReview memutuskan untuk menggantikan Kevin Tan dengan seorang lagi pakar perlembagaan, Tommy Thomas, sebagai panelis.  Forum malam ini akan diteruskan seperti yang dirancang dengan dua orang panelis yang lain, termasuk Professor Shad Faruqi dan Mohd Nizar Jamaluddin.

Professor Shad Faruqi, pakar perlembagaan, dan juga penulis buku Document of Destiny.  Selain mengajar di universiti tempatan, juga seorang kolumnis dalam akhbar Star.  Mohd Nizar Jamaluddin pula, Menteri Besar Pakatan Rakyat negeri Perak, merangkap ahli parlimen Bukit Gantang, Perak.

Sekali imbas, krisis Perak yang berlanjutan sehingga kini merupakan antara peristiwa yang paling penting dalam tahun 2009. Pergelutan kuasa antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat ini telah memberi impak yang besar kepada sistem politik Malaysia dari semua dimensi, termasuk kehakiman, pasukan keselamatan, perundangan, institusi Raja dan sebagainya.

Butiran:

Tema: Whither the Constitution? Lessons to be learnt from the Perak Crisis (English)
Tarikh: 9 Disember 2009 (Rabu)
Masa: 8 pm
Tempat: MBPJ Civic Centre Auditorium, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.

Kedatangan dialu-alukan.  Kemasukan adalah percuma.

Galeri GambarSelanjutnya