2014-04-24 11:08pm
 
Kenali Kami
 
Hubungi Kami
 


Merdekareview sepintas lalu...

Merdekareview membuka tirai secara rasmi pada 31 Ogos 2005, sebagai penghargaan kepada tanahair yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-48 pada ketika itu. Merdekareview dimiliki syarikat Knowledge Venture Sdn Bhd.

Dalam jangka masa hampir empat tahun ini, Merdekareview memainkan peranan sebagai media yang berkecuali, bebas malah kritikal. Ini diterjemah kepada soalan yang tajam dalam sidang media mahupun wawancara, tidak kurang juga dengan laporan dan analisa kritis yang diterbitkan.

Ini menyebabkan politikus sama ada dari Barisan Nasional, Pakatan Rakyat mahupun bebas, aktivis sosial, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya tidak asing dengan Merdekareview, walaupun mungkin tidak fasih dalam bahasa Cina.

Melangkaui batasan perkauman

Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar tidak menjadi batas skop liputan Merdekareview. Merdekareview sememangnya mengenalpasti golongan pembacanya daripada kaum Cina, atau lebih tepat fasih dalam bahasa Cina, namun ini tidak menambat langkah Merdekareview untuk terus berprihatin terhadap kepentingan kaum lain.

Misalnya, wartawan Merdekareview berada di Kampung Berembang, Kampung Chubadak Tambahan dan "setinggan" yang lain ketika jentolak meruntuhkan rumah kayu tersebut. Berbeza dengan sesetengah media, Merdekareview mengambil pendekatan 'bagaimana hak peneroka bandar dapat dijamin dalam proses pembangunan', ketika melaporkan isu tersebut. [Koleksi Laporan Peneroka Bandar]

Malah, sebelum kerajaan Barisan Nasional terbeliak mata dengan kebangkitan Hindraf, Merdekareview telah melaporkan beberapa isu ketidakpuasan komuniti kaum India dan penganut Hindu terhadap perobohan kuil pihak berkuasa tempatan, sebelum ketidakpuasan ini meledak pada 25 November 2007. [Koleksi Laporan Perobohan Kuil Hindu]

Nilai sejagat sebagai kayu ukur

Pasukan editorial Merdekareview terdiri daripada generasi muda yang tidak terbelenggu dengan beban perkauman, walaupun Merdekareview sentiasa peka, menyedari dan memahami konteks serta latar belakang masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya ini. Namun, pasukan editorial bertekad melakukan satu anjakan paradigma, di mana nilai sejagat seperti keadilan, kebebasan menjadi kayu ukur ketika menilai dan menganalisa isu-isu semasa.

Merdekareview mendukung idealisme ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang demokratik, dinamik, menghormati hak asasi manusia, kebebasan bersuara, pentadbiran yang adil dan saksama.

Media yang Berkecuali

Merdekareview bertekad memainkan peranan sebagai kuasa keempat (fourth estate), menyemak dan memantau operasi ketiga-tiga cabang kuasa, iaitu perundangan, pentadbiran dan kehakiman. Merdekareview telah mengambil pendirian untuk berkecuali daripada mana-mana parti politik.

Sebagai media yang kritikal terhadap golongan pemerintah, tidak kurang juga analisis yang tajam terhadap pihak pembangkang, malah badan bukan kerajaan, sekiranya pihak tersebut dilihat terpesong dari landasan ke arah demokrasi.

Sememangnya ini bukan posisi yang popular, namun Merdekareview tetap berpendirian bahawa masyarakat Malaysia memerlukan media yang bebas. Selain lidah parti yang menyebarkan propaganda politik masing-masing, lidah yang lantang melaungkan suara rakyat amat diperlukan oleh masyarakat Malaysia selepas 8 Mac 2008.

Merdekareview edisi Bahasa Melayu

Merdekareview edisi bahasa Melayu diwujudkan untuk menyahut permintaan ramai, setelah empat tahun edisi bahasa Cina beroperasi dalam keadaan yang serba kekurangan. Walau bagaimanapun, Merdekareview perlu menegaskan bahawa kewujudan edisi bahasa Melayu bertujuan untuk memenuhi kekurangan dalam dunia wacana dengan sumber yang agak terhad.

Pandangan pemimpin pendapat (opinion leader) yang berbahasa Cina akan diberi keutamaan setelah mengenalpasti bahawa inilah kekurangan yang sedia wujud. Laporan, analisa dan artikel kolum yang diterbitkan dalam Merdekareview akan diterjemah dan disunting sebelum dipaparkan. Merdekareview ingin menyatakan terlebih dahulu bahawa penterjemahan artikel tertentu bukan 100% lantaran perbezaan antara kedua-dua bahasa dan budaya, justeru itu menyukarkan makna asal disampaikan secara menyeluruh.

Edisi bahasa Melayu ini juga bertujuan menampilkan dimensi yang pelbagai dalam masyarakat Cina. Tidak dinafikan, masyarakat Malaysia jarang berdialog, dan untuk mereka yang ingin berbuat demikian, mereka hanya dapat memahami masyarakat sesuatu etnik dengan saluran yang terhad.

Maka, dengan edisi bahasa Melayu ini, Merdekareview berharap dapat menambah satu saluran kepada masyarakat berbahasa Melayu, untuk memahami dunia wacana masyarakat Cina. Juga, Merdekareview menggariskan matlamat jangka panjang agar dialog dua hala dapat diwujudkan. Terpaksa kami akui bahawa, dengan sumber tenaga yang terhad, kami belum mampu membuka ruang surat pembaca, yang memerlukan editor untuk meneliti kandungan sebelum menyiarkannya, tetapi mengalu-alukan sebarang cadangan, pandangan dan kritikan yang dihantar ke editorial_bm@merdekareview.com.

31 Julai 2009

 
MerdekaReview